
Laporan/foto: Mohd Yuszairee/Asyraf Firas (Hulu Selangor)
BUKIT BERUNTUNG, 19 Apr (Malaysiaaktif) – Orang ramai dinasihat menitikberatkan aspek-aspek keselamatan ketika memandu sempena cuti panjang menjelang hari raya nanti.
Menurut Pegawai Daerah Hulu Selangor Mohamed Hanafe Basri bahawa aliran trafik dijangka meningkat berikutan cuti panjang bermula Jumaat ini dan dijangka meningkatkan risiko kes kemalangan jalan raya jika orang ramai tidak menitikberatkan aspek-aspek keselamatan ketika memandu.
Mohamed Hanafe berkata demikian sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Daerah Hulu Selangor di Plaza Tol Bukit Beruntung, di sini petang semalam.
“Menjadi tanggungjawab Jawatankuasa Majlis Keselamatan Jalanraya Daerah Hulu Selangor untuk berganding bahu bersama dengan beberapa agensi tempatan bagi melaksanakan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya kepada para pengguna agar sentiasa sabar dan cermat sepanjang pemanduan serta mematuhi undang-undang jalan raya.
“Saya juga mengingatkan agar semua pasukan yang terlibat dalam kempen ini sentiasa berhati-hati serta mengutamakan keselamatan diri masing-masing sewaktu menjalankan misi menyelamat,” katanya.
Menurutnya lagi, pihak keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pasukan perubatan telah menyusun perancangan rapi dan bersiap siaga bagi menghadapi apa jua situasi kecemasan demi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya tersedia.
-ZS-