Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

IoW Beri Pendedahan MAPO kepada Orang Awam

By 26 Julai 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Intan Saziana

CAMERON HIGHLANDS, 26 Jul (Malaysiaktif) – Orang awam sekitar Pasar Awam Tanah Rata diberi pendedahan mengenai Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (MAPO) melalui unit bergerak ‘Info on Wheels’ (IoW) Jabatan Penerangan Daerah Cameron secara santai di perkarangan Pasar Awam Tanah Rata, di sini semalam.

Menurut salah seorang pengunjung pasar tersebut, Krisnamorty Perumal, 72, konsep ceramah santai secara bersemuka melalui kenderaan bergerak seperti ini sangat menarik kerana sebelum ini kebiasaannya ceramah dilaksanakan di dalam dewan sahaja.

“Ceramah seperti ini bagus dilaksanakan lebih-lebih lagi menggunakan kenderaan jabatan, ia sangat kreatif dan menarik perhatian.

“Ceramah yang disampaikan memberikan pengetahuan serta membangkitkan kesedaran dan meningkatkan kefahaman mengenai MAPO kepada orang ramai terutamanya pengusaha-pengusaha kebun dan saya sendiri sebagai pengusaha kedai gunting rambut turut mendapat info bermanfaat supaya mengambil pekerja dengan cara yang betul serta segera melaporkan kepada pihak yang berkuasa jika terdapat sebarang kejadian yang mencurigakan,” ujarnya.

Menurut Krisnamorty lagi, intipati daripada ceramah ini sangat memberi pendedahan kepada orang ramai terutamanya kepada penduduk tanah tinggi Cameron Highlands yang terkenal sebagai kawasan pertanian terbesar dan pembekal sayur utama negara.

Ceramah MAPO disampaikan oleh Inspektor Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands Abd Hafiz Ab Rahim dan program IoW ini turut mengedarkan maklumat berkaitan Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang 2023 sempena Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2023 oleh Pegawai Penerangan Daerah Cameron Highlands Rosnaniwati Rasidi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda