
Laporan/foto: Shafira Mat Hussin/Khairil Azlan Che Zaini (Pasir Puteh)
PASIR PUTEH, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 400 pelajar sekolah rendah daripada enam buah sekolah sekitar Pasir Puteh hadir menyahut seruan ‘Let’s Be Safe’ sempena Kempen Keselamatan Murid Sekolah Rendah Daerah Pasir Puteh bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ismail, di sini semalam.
Objektif program antaranya adalah untuk menyemai sifat dan sikap peka terhadap keselamatan daripada pelbagai faktor dalam diri para pelajar seawal di bangku persekolahan. Bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan Mashadi Datuk Mustafa, berkata kempen ini diharapkan dapat menanamkan sikap untuk menjaga keselamatan dalam diri para pelajar dan peka terhadap persekitaran memandangkan dewasa ini anak-anak terdedah dengan pelbagai risiko keselamatan.
“Justeru itu, pemilihan 400 orang pelajar Tahun Empat daripada enam sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali, SK Cherang Ruku, SK Dalam Rhu, SK Sungai Petai, SK Gong Manak dan SK Kampung Sepulau sebagai audien utama adalah bertepatan dengan konsep program.
“Kerjasama antara JPN, Hibiscus Petroleum serta rakan strategik jabatan serrta agensi diharapkan dapat merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan anak-anak pelajar yang baik lagi cerdik seterusnya menjadi modal insan berilmu dan berakhlak mulia,” ujarnya.
Pelbagai pengisian menarik dalam menjayakan kempen ini diadakan antaranya pameran dan pendedahan tindakan keselamatan kendiri oleh jabatan dan agensi terlibat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Kesihatan Daerah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Hibiscus Petroleum Oil & Gas Malaysia Limited Dr. Pascal Hos dan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Suprintendan Zaizul Rizal Zakaria.
-ZS-