Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Bilangan Doktor Pakar Hospital Labuan akan Ditingkatkan

By 23 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah bilangan Pegawai Perubatan Pakar di Hospital Labuan bagi menangani pesakit menghidap penyakit kronik yang kian meningkat.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan keupayaan Hospital Labuan dengan pelbagai bidang kepakaran.

“Hospital Labuan mempunyai pegawai perubatan dan kakitangan sokongan yang mencukupi, tetapi kita sedia maklum terdapat pesakit penyakit tertentu yang perlu dipindahkan segera ke hospital di Sabah.

“Kementerian sedar terhadap cabaran yang dihadapi penduduk Labuan ketika melakukan perjalanan ke tanah besar Sabah untuk mendapatkan rawatan seperti isu tiket kapal terbang yang mahal dan kesukaran mendapat tiket feri pada musim tertentu,” katanya semasa ditemui media selepas membuat lawatan ke Klinik Kesihatan Labuan, pagi tadi.

Tambahnya, kerajaan sedang meneliti langkah terbaik bagi memenuhi harapan rakyat yang ingin melihat isu keterhubungan Labuan dan tanah besar Sabah diselesaikan.

“Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini telah mengadakan lawatan kerja ke Labuan dan kami berharap Kerajaan MADANI dapat memenuhi aspirasi rakyat ini,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda