Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Inisiatif Kerajaan Bantu Lahirkan Usahawan Wanita

By 23 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aniss Rahin/Ahmad Noramin Idris (Perak Tengah)

PASIR SALAK, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Pelbagai langkah dan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menjadi galakan pemangkin lahirnya usahawan wanita untuk menghasilkan sos cili buatan sendiri.

Usahawan Noor Liha Hussain, 57, berkata idea menghasilkan produk sos cili tercetus apabila memikirkan tiada usahawan lain yang menghasilkan sos cili di kawasan ini dan berbekalkan semangat yang tidak putus, dia memulakan usaha dengan mengambil kursus dan program bimbingan kemahiran dari Kolej Komuniti.

Noor Liha mengakui dia tiada pendedahan mengenai bantuan dana dan penjenamaan produk yang komprehensif, lalu mengambil langkah dengan mendapatkan maklumat daripada agensi pembangunan usahawan melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Empower NCER Negeri Perak dan Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC).

“Saya mula menapak dari bawah bermula pada tahun 2020 dengan menggunakan simpanan sendiri.

“Jika tiada pendedahan daripada mereka mungkin agak sukar untuk saya berada pada tahap ini,” kata pemilik Sos Cili Zileha ini.

Tambah Noor Liha, dia juga tidak melepaskan peluang apabila ada ruang pemasaran secara percuma dengan membuka reruai dalam pelbagai program keusahawanan yang dianjurkan oleh agensi pembangunan usahawan di negeri ini.

“Besarlah harapan saya agar dapat mengembangkan lagi pasaran produk sos cili ini hingga ke luar negeri dan luar negara,” ujarnya ketika ditemui di bengkelnya di Sungai Galah, di sini semalam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda