
Laporan/foto: Ahmad Suhaimi bin Mokhtar (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 28 Mac 2024 (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Fahmi Fadzil menyeru umat Islam menyambut kedatangan malam Nuzul al-Quran yang penuh berkah ini dengan hati yang terbuka serta keinginan yang mendalam untuk menghayati amalan dan ajaran al-Quran bagi memenuhi setiap aspek kehidupan.
Ujarnya, umat Islam perlu memperingati peristiwa Nuzul al-Quran dengan memanfaatkan ruang yang ada memahami kupasan dan tafsiran al-Quran.
“Kita dituntut memperbanyakkan bacaan al-Quran pada setiap Ramadan bagi meningkatkan pahala.
“Penghayatan mesej dari al-Quran akan mendidik kita menjadi insan yang bertaqwa, berakhlak mulia, adil dan sederhana dalam segenap perkara,” kata beliau semasa menyempurnakan Majlis Forum Perdana Nuzul al-Quran dan Iftar di Masjid Al Khadijah Pantai Sentral Lembah Pantai, semalam.
Forum Perdana ini menampilkan dua orang penceramah iaitu PU Salman Maskuri serta selebriti dan penyampai radio zayan, Mawi.
-AA-