
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
PUTRAJAYA, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 598 Anggota Polis akan terlibat dalam pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 14 Jun ini.
Demikian kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam siaran medianya hari ini.
Tambahnya, seramai 312 Anggota Polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan masing-masing akan turun mengundi di Kuala Kangsar manakala 286 pula akan melakukan pengundian awal di Sungai Besar.
“Proses Pengundian Awal akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan oleh petugas SPR dan dakwat pilihan raya akan digunakan sehingga 5.00 petang,” ujarnya lagi.
Kertas undi hanya akan dikira pada hari pengundian sebenar pada 18 Jun depan.
Sementara itu, di Sungai Besar melibatkan pertandingan tiga penjuru manakala di Kuala Kangsar melibatkan empat penjuru.
PRK kali ini dijalankan bagi mencari pengganti Tan Sri Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas heli di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu.
AAS