
Laporan/foto: Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail (Kemaman)
KEMAMAN, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 250 orang penduduk telah menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan asas makanan dan harian dalam program Sumbangan Tautan Kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang berlangsung di Dewan Utama Kompleks Rakan Muda Kemaman.

Mat Deris Ismail dari Felda Cherul melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.
Program anjuran Persatuan Amal Ikatan Setia Terengganu dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri ini bertujuan untuk membantu golongan sasar yang memerlukan terutamanya dalam kalangan keluarga miskin, ibu tunggal, warga emas dan golongan orang kurang upaya.
Seorang penerima Mat Deris Ismail, 69, dari Felda Cherul menyambut baik pelaksanaan program ini dan mengakui bahawa bantuan yang diberikan sangat membantu terutama golongan asnaf dan kurang upaya.
“Bantuan ini sangat besar maknanya dan sedikit sebanyak sudah pasti dapat mengurangkan beban harian yang ditanggung oleh kami sekeluarga,” katanya.

Pang Chow Kiat (kanan) terharu dan teruja nasib warga emas terus dibela oleh kerajaan.
Selain itu, seorang lagi penerima Pan Chow Kiat, 74, dari Taman Desa Solehah, Chukai turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan bantuan yang membantu golongan warga emas seperti dirinya, terutama ketika kos kehidupan yang semakin meningkat ketika ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Cheong Kian Young yang mewakili Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
-ZS-