
Laporan/foto: Hendry Nurdin/ Mahader Lahairie / Rizaidi Jaafar (Lahad Datu)
LAHAD DATU, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Masyarakat digalakkan untuk memperbanyakkan program pengimarahan masjid sebagai langkah untuk mengeratkan ukhuwah serta memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat komuniti.
Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @Benetty Mohd Dzul berkata, masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga pusat pembangunan sosial yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat.
“Pengimarahan masjid perlu diperkasakan dengan pelbagai inisiatif seperti kelas ilmu, program kebajikan, aktiviti kesihatan serta acara kemasyarakatan bagi menarik lebih ramai penyertaan daripada semua peringkat usia.

Firuz menyampaikan Bakul Makanan kepada salah seorang penerima mualaf yang hadir.
“Kita harus mengikis stigma dan persepsi bahawa masjid hanya untuk golongan tertentu. Ia adalah tempat terbuka untuk semua lapisan masyarakat, termasuk golongan muda yang boleh menyumbang idea dan tenaga untuk pembangunan komuniti,” katanya di Program Mini Karnival Kesihatan anjuran Masjid Ar-Raudhah Lahad Datu di sini pada Ahad.
Tambah beliau, pihak masjid, jabatan, agensi kerajaan, serta badan bukan kerajaan (NGO) perlu lebih proaktif dalam merangka program yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat.
“Kerjasama antara pihak masjid, NGO dan komuniti sangat penting dalam menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan sosial yang aktif.
“Kita perlu memastikan masjid bukan sekadar simbol agama, tetapi sebagai pusat yang memainkan peranan dalam membentuk masyarakat yang lebih progresif dan harmoni,” jelasnya.

Juraimin menyampaikan ucapan aluan di sini kemarin.
Sementara itu, jelas Timbalan Pengerusi Masjid Ar-Raudhah (Pentadbiran), Juraimin Jadil, objektif utama program ini ialah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat pentingnya menjaga kesihatan di samping mengeratkan perpaduan antara penduduk setempat.
“Kita mahu semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang, merasa diterima dan selesa untuk hadir ke masjid. Hanya dengan cara ini, kita dapat memastikan masjid terus berkembang sebagai pusat penyatuan masyarakat,” tambahnya.
Dalam pada itu, sebagai acara utama program, Presiden STX Club Dan Wakil MyFundaction, Amiruddin Lasape, 37, menyerahkan sumbangan berupa 60 bakul makanan kepada 60 orang mualaf di daerah Lahad Datu.
“Bantuan bakul makanan ini adalah bentuk komitmen kami dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat, dan sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat yang memerlukan di samping berusaha untuk berkolaborasi dengan pelbagai pihak bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar,” katanya.

Japen mengedarkan risalah dan membuat temu bual sebelum program berlangsung.
Untuk makluman, dianggarkan lebih kurang 200 orang hadir dalam program tersebut dengan beberapa pengisian antaranya pemeriksaan kesihatan, derma darah, pameran, sesi taklimat oleh Jabatan Mahkamah Syariah, dan ceramah isu semasa oleh Jabatan Penerangan.
-RJ-