Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

JKKK Tulang Belakang Pembangunan Kuala Penyu

By 2 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:Mohammad Amirul Bin Dait (Kuala Penyu)

KUALA PENYU, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menggalas tanggungjawab penting dalam memastikan rancangan kemajuan yang digerakkan oleh kerajaan dapat dicapai di setiap peringkat komuniti.

Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury berkata, selain menjadi tulang belakang pembangunan di peringkat akar umbi, JKKK perlu bergerak seiring dengan hasrat kerajaan membawa perubahan yang positif kepada rakyat.

Limus  merasmikan majlis amanat dan penyampaian Watikah kepada Pengerusi-pengerusi JKKK di daerah Kuala Penyu dan daerah kecil Menumbok kemarin.

“Terdapat empat aspek penting yang berpotensi untuk diterokai dalam membangunkan daerah Kuala Penyu, iaitu Pelancongan, Pendidikan, Pertanian, dan Perikanan.

“Pelan pembangunan strategik yang telah dirangka oleh kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan bertujuan untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

“Semua pihak perlu memainkan peranan aktif agar setiap program dan pelan strategik pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Majlis Amanat Taklimat Pelan Pembangunan Strategik Daerah Kuala Penyu di Dewan ShahBandar Makang di sini kemarin.

Penyampaian Watikah kepada Pengerusi-pengerusi  JKKK di daerah Kuala Penyu dan daerah kecil Menumbok.

Majlis yang berlangsung di Dewan ShahBandar Makang itu juga menyaksikan acara penyampaian watikah kepada pengerusi-pengerusi JKKK di Kuala Penyu dan daerah kecil Menumbok sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan peranan mereka dalam pembangunan komuniti.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu daripada Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Anita Limjoon berkata, Pelan Pembangunan Strategik Daerah Kuala Penyu yang dirangka merangkumi pelbagai aspek untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Pelan pembangunan ini merangkumi beberapa aspek penting seperti pembangunan infrastruktur, peningkatan ekonomi tempatan, pendidikan, kesihatan, dan pembangunan sosial.

“Pembangunan tidak akan bermakna jika tidak melibatkan penyertaan langsung daripada masyarakat. Oleh itu, kami berharap agar JKKK dapat menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat dalam melaksanakan agenda pembangunan ini,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda