Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Sulaman Kreatif Pelajar SMK Abdul Jalil

By 14 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

SHAH ALAM, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Siapa sangka, daripada aktiviti kokurikulum di sekolah, pelajar-pelajar Kelab Protune (Program Tunas Niaga) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil, Hulu Langat kini mampu menjana pendapatan dan menerima tempahan produk kreatif bukan sahaja dari Selangor malah dari negeri lain.

Di bawah bimbingan guru penasihatnya, Siti Jahibah Abdul Jais, 54, mereka menghasilkan produk-produk sulaman seperti bekas tisu, tanda nama, rantai kunci sulam dan beg sulam semuanya di jahit menggunakan mesin sulam milik koperasi sekolah.

Siti Jahibah merupakan guru pembimbing Kelab Protune bersama produk hiasan daripada buah pinang puteri yang dijual di reruai Protune SMK Abdul Jalil sempena Karnival Usahawan PKNS (KUP 2025)

“Saya percaya, lebih baik pelajar menghasilkan produk sendiri daripada hanya menjual produk orang lain.

“Kerana ia bukan sahaja memberi mereka nilai tambah, malah membuka peluang untuk menyertai pertandingan produk kreatif, produk perkhidmatan atau produk inovasi anjuran PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai Protune SMK Abdul Jalil sempena Karnival Usahawan PKNS (KUP 2025) di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini semalam.

Malah, tahun lalu katanya mereka turut menjuarai kategori Produk Kreatif anjuran PKNS hasil produk hiasan daripada buah pinang puteri yang dikutip di kawasan sekolah.

Nur Adriana Balqis salah seorang ahli Protune SMK Abdul Jalil sedang menjahit rantai kunci sulam di reruai Protune SMK Abdul Jalil sempena Karnival Usahawan PKNS (KUP 2025) di Kompleks PKNS Shah Alam

“Sekolah kami ada 13 pokok pinang puteri, daripada dibiarkan begitu sahaja, kami jadikannya produk hiasan dan berjaya dinobatkan sebagai produk kreatif,” katanya.

Harga produk sulaman yang dijual juga pula amat berpatutan bermula daripada RM3 hingga RM12 untuk barangan sulam, manakala hasil kraftangan seperti produk daripada buah pinang puteri boleh mencecah sehingga RM200.

Siti Jahibah turut berkongsi beliau tidak keberatan untuk membawa pelajarnya menyertai pelbagai karnival keusahawanan bagi memberi mereka pendedahan mengenai keusahawanan.

Semangat yang ditunjukkan Kelab Protune SMK Abdul Jalil membuktikan minat dan kreativiti pelajar sekolah menengah mampu mencetuskan perubahan bukan sahaja dalam komuniti sekolah tetapi dalam pasaran sebenar.

Kelab Protune yang dianggotai seramai 25 pelajar merupakan program pembudayaan keusahawanan khusus untuk pelajar-pelajar sekolah menengah.

-AA-

Tinggalkan komen anda