Skip to main content
Berita TimurBerita TempatanKelantan

Kampung Kemunchup Mara ke Penilaian Akhir ADM Kebangsaan 2025

By 15 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Wee Kim Been

MACHANG, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Kesepaduan komuniti dan penglibatan aktif penduduk pelbagai lapisan menjadi faktor utama Kampung Kemunchup tersenarai ke peringkat akhir Anugerah Aspirasi Desa MADANI (ADM) Peringkat Kebangsaan 2025.

Menurut Ketua Komuniti MADANI Kemunchup Mohd Nawai Shayal, kejayaan itu hasil kerjasama penduduk dan pelbagai pihak yang menyumbang idea, tenaga dan komitmen bagi memperkukuh identiti kampung dalam pelbagai aspek pembangunan masyarakat.

Persembahan wayang kulit yang merupakan salah satu seni tradisional masyarakat Melayu.

“Komuniti MADANI memainkan peranan besar dalam membantu persiapan dan gerak kerja penilaian ADM. Dari kegiatan kebudayaan hingga program sosial, setiap penduduk mengambil tanggungjawab bersama untuk menjadikan Kampung Kemunchup sebagai model komuniti desa cemerlang,” katanya di sini semalam.

Tambahnya, elemen seperti Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), produk hasil seni tempatan serta projek komuniti belia menjadi antara tarikan utama yang memperkukuh pencalonan kampung tersebut ke peringkat kebangsaan.

Taklimat oleh Pengerusi JPKKP Kemunchup, Ahmed Jusoh di Masjid Mukim Padang Kemunchup.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) merangkap Setiausaha Komuniti MADANI Kemunchup Ahmed Jusoh menegaskan bahawa penglibatan pelbagai agensi kerajaan telah memberi impak besar dalam memacu pembangunan setempat.

“Agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pejabat Penerangan, Pejabat Pertanian, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Pejabat Perpaduan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah banyak membantu memperkasa komuniti, terutama dalam memperluas peluang kepada golongan muda dan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk,” katanya.

ADM merupakan inisiatif di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sejak 2024, bertujuan memperkasa komuniti luar bandar menerusi pendekatan pembangunan yang mampan, inklusif dan holistik, seiring matlamat ‘Luar Bandar Sejahtera’ menjelang 2030.

Bukan sahaja berfungsi sebagai penggerak pembangunan sosioekonomi, malah ia menjadi platform utama memartabatkan desa sebagai entiti dinamik dan progresif.

Majlis penilaian akhir ADM bagi Kampung Kemunchup dirasmikan Ketua Jajahan Machang Mohd Zamri Ibrahim.

Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Machang Wan Seman Wan Bedollah, ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri serta Ahli Jawatankuasa Komuniti MADANI Kemunchup.

-RI

Tinggalkan komen anda