
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Penjawat awam perlu bersifat tangkas, berdaya saing serta mampu beradaptasi dengan perubahan pantas landskap semasa termasuk perkembangan teknologi.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata prestasi penjawat awam juga wajar selaras dengan jangkaan rakyat yang semakin tinggi terhadap sistem penyampaian kerajaan.

Dr. Joachim (lima dari kanan) menerima cendera mata daripada Joseph.
Jelasnya, penjawat awam tidak boleh terus berada di takuk lama sebaliknya perlu memperkukuh keupayaan diri bagi memastikan perkhidmatan kekal relevan dan berkesan.
“Kita kini berada dalam era perubahan yang pantas, ledakan teknologi dan kehendak rakyat yang menuntut perkhidmatan awam yang lebih cekap, efisien dan responsif. Kejayaan yang dicapai dalam sektor perkhidmatan awam bukan sahaja memberikan kepuasan, tetapi turut menjadi pemangkin semangat untuk penjawat awam terus melaksanakan amanah dengan penuh komitmen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Tawau, di sini pada Khamis.
Tambahnya, kejayaan yang dicapai dalam sektor perkhidmatan awam bukan sahaja memberikan kepuasan, tetapi turut menjadi pemangkin semangat untuk penjawat awam terus melaksanakan amanah dengan penuh komitmen.

Dr. Joachim (duduk, tengah) bergambar kenangan dengan semua yang hadir dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MPT tahun 2025.
“Anugerah seperti APC ini membawa makna yang besar. Ia bukan sekadar penghormatan, malah menjadi motivasi dan penghargaan kepada kesungguhan serta dedikasi penjawat awam.
“Kejayaan yang dicapai oleh MPT ini adalah hasil kerjasama berpasukan, semangat setiakawan dan budaya kerja yang profesional serta bertanggungjawab. Inilah asas kecemerlangan,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, beberapa penjawat awam MPT menerima pengiktirafan berdasarkan prestasi cemerlang tahun 2024, manakala pesara MPT 2024 turut diraikan atas jasa dan khidmat bakti mereka sepanjang perkhidmatan.
-RJ-





