Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Pengurusan Sisa Agrokimia Elak Pencemaran Alam

By 24 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anita Omar (Manjung)

MANJUNG, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Pengurusan sisa agrokimia secara bertanggungjawab dan selamat berupaya mengelakkan sebarang aktiviti pencemaran tanah dan air.

“Seperti diketahui, bekas racun perosak adalah salah satu punca pencemaran yang boleh mengancam bukan sahaja kesihatan manusia, malah juga haiwan.

Mohd Zolkafli ketika menyampaikan anguerah kepada salah satu pemenang anugerah.

“Justeru kempen ini menyasarkan pengumpulan semula bekas racun perosak secara selamat bagi mengelakkan pencemaran tanah dan air,” kata Pengarah Pertanian Negeri Perak Norsiyenti Othman, di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Agro Jabatan Pertanian dan Hari Bertemu Pelanggan Daerah Manjung Tahun 2025 di Pusat Latihan dan Pertanian Lekir, di sini semalam.

Karnival anjuran Jabatan Pertanian Daerah Manjung diadakan bagi memperkasakan pertanian lestari dan kesedaran alam sekitar,

Menurutnya lagi, antara inisiatif yang menjadi tumpuan Jabatan Pertanian Perak pada tahun ini ialah kempen Jom Kitar Semula Bekas Racun Perosak Anda yang telah berjaya menarik penyertaan petani dalam daerah Manjung.

“Objektif utama kempen tersebut bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan petani tentang pengurusan sisa agrokimia secara bertanggungjawab, malah menjadi platform kepada pelanggan dan petani untuk berinteraksi terus dengan pegawai teknikal Jabatan Pertanian,” katanya.

Petugas gerai pameran Jom Kitar Semula Bekas Racun Perosak Anda, bersedia memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada pengunjung.

Penganjuran karnival yang disertai koperasi tani, pembekal input pertanian dan institusi pendidikan tempatan ini menunjukkan komitmen Jabatan Pertanian dalam mendukung pembangunan pertanian yang mampan dan responsif kepada keperluan semasa masyarakat tani.

Penghargaan dan anugerah turut disampaikan kepada individu dan organisasi yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam sektor pertanian di daerah Manjung antaranya Anugerah Petani Cemerlang, Anugerah Usahawan Agro Muda, Anugerah Inovasi Pertanian, Pengiktirafan Amalan Pertanian Baik (MyGAP) yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Negeri Perak Mohd Zolkafly Harun.

-RI

Tinggalkan komen anda