
Laporan/foto: Khairul Azad (Labuan)/Pejabat Menteri JPM
LABUAN, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkasa agenda transformasi digital serta memperkukuh amalan keselamatan internet dalam kalangan masyarakat di pulau bebas cukai ini.

Zaliha (kanan) mencuba pameran interaktif MCMC
Menurut Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan, Faisal Hamdi Mohammed Ghouth, komitmen itu dizahirkan melalui Pelancaran Inisiatif Cashless Society dan Kempen Internet Selamat Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa di sini, semalam.
“Inisiatif ini juga adalah sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif Smart Labuan dan Rangka Kerja Keselamatan Dalam Talian atau National Online Safety Framework (NOSF) yang memberi tumpuan kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang inklusif, pintar, selamat dan mampan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, Inisiatif Cashless Society merupakan usaha nasional berimpak tinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital melalui galakan penggunaan pembayaran tanpa tunai seperti e-dompet, kod QR DuitNow, kad debit dan kad kredit serta perbankan mudah alih.
“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran, keyakinan dan penerimaan masyarakat terhadap kaedah pembayaran digital yang mudah, pantas dan selamat dengan memberi tumpuan kepada sektor peruncitan dan perniagaan melalui dua pendekatan utama iaitu intervensi dasar seperti syarat lesen perniagaan yang menggalakkan kaedah pembayaran digital serta kempen promosi selain kesedaran,” katanya.
Selain itu, Kempen Internet Selamat (KIS) adalah inisiatif nasional yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan keupayaan rakyat Malaysia dalam menangani isu keselamatan internet seperti buli siber, penipuan atas talian, perjudian digital serta kandungan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
“Kempen ini menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, remaja, pelajar IPT, guru, ibu bapa dan warga emas dengan matlamat membina ekosistem digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan beretika selain sebagai usaha strategik sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber negara serta melindungi rakyat daripada ancaman digital yang kompleks,” jelasnya.
-AA-





