Skip to main content
MA

Program Semarak Bakat Murid Cungkil Bakat Pelajar dalam Tarian Moden

By 27 Julai 2025Julai 28th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)

IPOH, 27 Julai (MalaysiaAktif) – Bakat pelajar dalam Tarian Moden dicungkil menerusi Penganjuran Program Semarak Bakat Murid bagi Pertandingan Tarian Moden untuk pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

Pertandingan ini telah dianjurkan buat pertama kalinya oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara di Aeon Kinta City di sini, kelmarin.

Antara peserta dan penonton yang hadir ke Aeon Kinta City bagi Program Semarak Bakat Murid

Pegawai Teknikal Pertandingan Tarian Moden Goh Mei Lee, berkata bagi Kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah telah menerima tujuh penyertaan sekolah masing-masing.

Ujarnya, idea asal penganjuran ini adalah bermula daripada usahanya sendiri sebelum ini dan seterusnya bagi tahun ini telah diangkat kepada PPD Kinta Utara supaya para pelajar yang terlibat boleh mendapat sumbangan pencapaian dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan & Kokurikulum (PAJSK).

“Selain PPD Kinta Utara, usaha ini turut dibantu oleh Pengerusi Sekolah Rendah iaitu SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) Sam Tet manakala Pengerusi Sekolah Menengah adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor dan untuk pengurusan teknikal pula saya dan pelajar saya dari SJKC Sam Tet.

Sesi bergambar para peserta yang menyertai Program Semarak Bakat Murid

Beliau turut berharap pada masa hadapan, pertandingan ini boleh diangkat sehingga ke peringkat negeri.

Sementara itu, Guru Kelab Kebudayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yuk Choy Ng Hooi Chueen, berkongsi pengalaman bersama MalaysiaAktif tentang persiapan mereka untuk menyertai pertandingan tersebut sehingga menjadi Johan pertandingan bagi Kategori Sekolah Menengah.

“Ini merupakan kali pertama kami mengikuti Pertandingan Tarian Moden dan kami sangat gembira kerana koreografi ini adalah hasil ciptaan pelajar sendiri.

Tambah Ng, para pelajar bertungkus-lumus berlatih selama dua bulan untuk memastikan mereka berjaya memberikan persembahan yang terbaik.

“Pada saya, penganjuran program ini sangat baik kerana pelajar dapat menunjukkan bakat dan mempamerkan tanggungjawab dengan mempunyai inisiatif sendiri bagi menimba ilmu (tarian moden) di luar.

“Aktiviti ini sihat, sekurang-kurangnya mereka tidak melepak dan membuang masa dengan sesuatu yang tidak berfaedah,” ujarnya ketika ditemui.

Selain itu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Poi Lam telah dinobatkan sebagai Naib Johan manakala tempat ketiga telah dimenangi oleh SMJK Ave Maria Convent bagi kategori Sekolah Menengah.

-AA-

 

Tinggalkan komen anda