
Laporan/foto: Faizzad Kamal/HanizatulAzwa (Batang Padang)
BIDOR, 10 Ogos (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Negeri Perak 2025 bertujuan memberi kesedaran dalam menggalakkan masyarakat untuk memerangani dan menghapuskan nyamuk Aedes.
“Pendekatan bersepadu melalui program seperti ini penting untuk memupuk kesedaran awam tentang bahaya denggi, selain menggalakkan gaya hidup sihat seiring dengan agenda nasional,” kata Pengarah Kesihatan Negeri Perak Dr. Feisul Idzwan Mustapha.

Feisul Idzwan menerangkan berkenaan cycling challenge kepada Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak terlibat kerana berjaya menganjurkan program yang menggabungkan elemen pendidikan kesihatan, aktiviti fizikal dan kesedaran komuniti dalam usaha membanteras denggi.
Sambutan yang diadakan serentak dengan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Batang Padang di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Choong Hua, di sini pagi semalam berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya senamrobik, Funwalk Cari & Musnah (plogging) sejauh dua kilometer, pertandingan pameran interaktif antara PKD, permainan interaktif, Trak Wellness on Wheel, saringan kesihatan termasuk PEKA B40, pemeriksaan kesihatan wanita serta kempen pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-waste).
Pegawai Kesihatan Daerah Batang Padang Dr. V.C. Anuratha Subramaniam yang hadir turut menegaskan bahawa masyarakat perlu sentiasa mengamalkan amalan membersihkan rumah sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari bagi memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Pameran yang berlangsung di program tersebut.
Turut memeriahkan acara ialah aktiviti pocket talk, kuiz kesihatan, pertandingan teka jumlah nyamuk, saringan kesihatan remaja dan cabutan bertuah.
Program ini dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat setempat yang mengambil peluang mendapatkan maklumat kesihatan, menjalani pemeriksaan percuma serta menyertai aktiviti riadah yang disediakan.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Batang Padang Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori dan Orang Besar Jajahan Batang Padang Toh Paduka Indera Datuk Mat Rasid Ayob.
-RI





