Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Rakyat Selangor Diseru Terus Kibar Jalur Gemilang

By 11 Ogos 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zalizan Yaacob/Hazel

KUALA SELANGOR, 11 Ogos (MalaysiaAktif) – Rakyat Malaysia khususnya warga Selangor diseru agar sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kebangsaan tahun ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri Mohd Yahya Mat Sahri berkata kibaran itu perlu dibuat di kediaman, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing sebagai tanda cinta dan taat setia kepada negara.

Penghulu Mukim Api-Api/Ijok, Husain Idris, bersama Jurutera Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kuala Selangor, Wan Hazdy Azad Wan Abdul Majid dan Pegawai Penerangan Daerah Kuala Selangor, Hufaidatul Azfa Saffie ketika memasang Jalur Gemilang pada kenderaan awam di Petron, Pekan Ijok.

“Bagaimanapun, janganlah kita memasang bendera lusuh, koyak dan pudar warnanya.

 

“Pemasangan bendera yang betul mencerminkan rasa hormat, semangat patriotisme dan kecintaan kita terhadap negara,” katanya pada Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 dan Peluncuran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Daerah Kuala Selangor, di sini kelmarin.

Majlis disempurnakan Pegawai Daerah Mohd Raiz Radzuan.

Beliau berkata seluruh rakyat perlu untuk berganding bahu menjayakan inisiatif kerajaan itu demi kesejahteraan dan perpaduan negara kerana KMJG katanya dapat menggalakkan penyertaan aktif seluruh masyarakat dalam aktiviti pengibaran Jalur Gemilang.

Hufaidatul ketika menyerahkan cenderahati Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang kepada Mohd Raiz Radzuan.

KMJG 2025 peringkat Daerah Kuala Selangor itu hasil kerjasama Pejabat Penerangan Daerah, jabatan serta agensi kerajaan, pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Selangor, Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan badan bukan kerajaan (NGO) serta Komuniti MADANI.

Konvoi telah singgah di beberapa lokasi seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Burong, Kolej Komuniti Tanjong Karang, Pasar Pasir Penambang, Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor Bestari Jaya, Petron Pekan Ijok, Pantai Remis, Lotus’s Kuala Selangor dan Dewan Dato’ Penggawa Permatang.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Selangor Hufaidatul Azfa Saffie berkata pasukan kembara selama dua hari itu telah menjelajah lapan hentian dengan membawa Jalur Gemilang.

“Edaran Jalur Gemilang secara percuma juga diberikan kepada masyarakat di setiap hentian ini. Antara pengisian lain adalah menggantikan Jalur Gemilang yang lusuh, pengisian petrol percuma kepada motosikal dan senaman pagi bersama komuniti.

“Pihak kami mengumpul seluruh pasukan jabatan kerajaan persekutuan dan negeri bersama-sama Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Selangor dan penyelaras DUN bagi memperkukuh perpaduan nasional menerusi penglibatan bersama dalam menjayakan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda