
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 13 Ogos (MalaysiaAktif) – Pahang menjadi negeri terakhir di Pantai Timur membawakan misi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025.

Wakil Ahli Parlimen Paya Besar, Mustakim Zakaria bergambar kenangan setelah selesai program.
Menurut Ketua Konvoi KMJG 2025 peringkat Negeri Pahang Rohani Chik konvoi kali ini disertai 38 orang ahli bersama 30 buah motosikal berkuasa tinggi daripada Kelab Motor Daz Biker buat julung kalinya.
“Pada tahun ini, kita menjemput ahli kelab motor Daz Biker yang diketuai Datuk Seri Zuhairi Abd Kadir untuk menyertai konvoi KMJG dan mereka sangat teruja kerana menyertai kembara buat pertama kalinya,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.

Zuhairi dan isteri Engku Noorasikir kelihatan ceria menyertai konvoi.
Katanya lagi, beberapa agensi lain turut menyertai KMJG tahun ini antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Bahagian Khidmat Pengurusan, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
“Jumlah keseluruhan peserta konvoi seramai 84 orang dan akan melalui lima lokasi yang melibatkan daerah Kuantan, Jerantut, Lipis, Cameron Highlands dan Bentong,” katanya.
KMJG 2025 peringkat Negeri Pahang bermula semalam dan akan berakhir esok sebelum menyerahkan misi seterusnya kepada Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Wilayah Kuala Lumpur.
-RI





