
Laporan/foto: Intan Saziana (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 16 Ogos (MalaysiaAktif) – Walaupun telah meninggalkan perkhidmatan lebih sedekad lalu, semangat juang seorang pesara komando VAT 69 Ismail Ariffin, 70, tidak pernah pudar untuk mengangkat nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Ismail bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang.
Bekas wira negara ini terus komited menyertai program kemasyarakatan, berkongsi pengalaman ketika menggalas tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara, serta menanam semangat cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda.
Ketika ditemui Ismail berkongsi pengalaman menjalankan operasi keselamatan yang penuh cabaran, kisah beliau tentang keberanian, pengorbanan dan semangat setiakawan yang boleh menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Cinta kepada negara bukan hanya dengan kata-kata, tetapi melalui pengorbanan dan tindakan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

Pengalaman bertugas sebagai barisan pertahanan hadapan sentiasa tersemat dalam memori beliau.
Selepas bersara, Ismail memilih untuk menetap di kampung halamannya dan menjalani kehidupan sederhana sambil terus berbakti kepada masyarakat.
Beliau aktif membantu penduduk setempat, khususnya dalam aspek keselamatan dan kebajikan, sekali gus memastikan nilai-nilai murni yang pernah menjadi pegangan ketika berkhidmat terus diamalkan dalam kehidupan seharian.
-RI





