
Laporan/foto: Noor Aini/Anuar Che Amat
KANGAR, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Sesi taklimat khas mengenai pewartaan struktur tarif air baharu telah dianjurkan secara hybrid di Dewan Sivik, Jabatan Penerangan (JAPEN) Perlis, di sini malam tadi.
Taklimat disampaikan Pengarah Kanan Bahagian Perlesenan dan Tarif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Izan Aziati Samsuri yang menjelaskan mekanisme, keperluan serta manfaat struktur baharu kepada rakyat.

Perkongsian berkaitan taklimat secara Google Meet turut diadakan.
Beliau berkata langkah pewartaan itu bukan sahaja untuk menyelaras semula kadar tarif mengikut keperluan semasa, tetapi bagi menjamin kelestarian perkhidmatan air negara.
“Struktur tarif air baharu ini dirangka untuk memastikan rakyat terus mendapat bekalan air bersih yang selamat dan mampan. Ia juga mengambil kira keseimbangan antara kos operasi dan kemampuan pengguna,” katanya ketika sesi penerangan,” katanya.
Beliau turut menegaskan SPAN sentiasa terbuka mendengar pandangan masyarakat.
“Kami mahu masyarakat faham bahawa setiap sen yang dibayar adalah pelaburan demi menjamin kelangsungan sumber air negara. Mekanisme sokongan juga akan diperincikan supaya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Komuniti MADANI juga hadir secara bersemuka.
Sementara itu, wakil komuniti, Abu Bakar Hamzah, 53, dari Komuniti MADANI Kampung Ujong Batu, menyifatkan sesi penerangan itu memberi kefahaman jelas tentang rasional pelaksanaan.
“Taklimat ini penting kerana masyarakat sering mendengar isu kenaikan tarif tanpa tahu rasionalnya. Malam ini kami dapat penjelasan jelas, dan rasa lebih yakin terhadap ketelusan SPAN,” katanya.
Program ini menzahirkan komitmen kerajaan MADANI untuk menyalurkan maklumat dasar secara telus, inklusif dan berasaskan dialog bersama rakyat.
-RI





