
Oleh : Herman Hamid (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Program ‘Santai Durian Merdeka” yang diadakan di Jalan Raja Alang Kampung Bharu malam tadi berjaya mengeratkan silaturrahim dan menambah semangat patriotisme dalam kalangan penduduk setempat.
Menurut penggerak program berkenaan, Haji Awang Md Taib yang juga Pengerusi Penjaja dan Peniaga Pasar Chow Kit, “Penduduk Kampug Bharu menyambut kemerdekaan dengan menggunakan pendekatan berbeza setiap tahun tetapi tetap memastikan program tersebut tidak lari dari konsep semangat kejiranan dan patriotisme”.
“Sebelum ini penduduk hanya mengadakan jamuan menggunakan menu seperti nasi, laksa dan pulut. Namun, pada tahun ini, masyarakat setempat di sini sepakat mengadakan jamuan makan durian bagi menyambut bulan Kemerdekaan”, tambah beliau.
Beliau berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan sambutan Hari Kemerdekaan.
Menurutnya, selain mengeratkan hubungan sesama jiran, mereka juga perlu menjalinkan hubungan baik dengan penduduk setempat di kawasan ini memandangkan Pasar Chow Kit merupakan pusat tumpuan.
Sementara itu, rakannya, Ismail Sahat berkata, dia mencadangkan setiap rumah di kawasan Kampung Bharu mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan Kemerdekaan setiap tahun bagi menyemai semangat cintakan Negara dan menghargai pemimpin terdahulu dalam mencapai Kemerdekaan.
Turut hadir, Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Perbadanan Kampung Bharu, Datuk Affendi Zahari.
Lebih 500 orang hadir dalam program ini.
-DK