
Laporan/foto: Faizal Nazmi (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 30 Ogos (MalaysiaAktif) – Baru tiga jam berlangsung, program RIUH Merdeka oleh MyCreative Venture (MyCV) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 berjaya menarik ratusan pengunjung.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata berbaki 27 jam lagi, program terpanjang yang diuruskan agensi di bawah kementeriannya itu dijangka akan dibanjiri lebih ramai audiens.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika melawat reruai Jabatan Penerangan Malaysia di program RIUH Merdeka.
“Ini adalah acara selama 30 jam oleh MyCV yang mengumpulkan puluhan vendor yang menjual makanan, minuman, pakaian, kraftangan, dan banyak lagi.
“Malam ini juga ada tayangan filem dan persembahan oleh artis terkenal seperti Yuna dan Zainal Abidin. Semuanya secara percuma. Kita juga akan mengira detik kemerdekaan, jadi ramai-ramai datang kerana ini pastinya akan meninggalkan kenangan indah buat semua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meluangkan masa berkunjung ke RIUH Merdeka di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru, di sini hari ini.
Sementara itu, Fahmi berkata banyak ruang pameran dibuka oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi, seperti Jabatan Penerangan Malaysia, Perbadanan Filem Nasional Malaysia, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Beliau juga mengajak orang ramai untuk mendaftar MyDigital ID masing-masing di program tersebut sekiranya belum memiliki pengenalan identiti digital tersebut.

Kanak-kanak bermain catur gergasi pada program RIUH Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya.
Sementara itu, kelihatan juga pengunjung dari luar negara berada di lokasi acara yang dijadualkan berlangsung sehingga jam 6 petang esok itu.
Khaz Qazi Waqas, 42, dari India, berkata RIUH Merdeka adalah satu program yang bagus kerana ia menyediakan ruang bagi beliau sebagai pelancong untuk mengenali budaya tempatan.
“Makanan, pakaian, dan kraftangan yang dijual di sini amat menarik perhatian saya. Lokasinya juga saya kira bersesuaian kerana dekat dengan tempat-tempat menarik di Putrajaya seperti Masjid Putra dan Masjid Besi (Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin),” katanya.
Khaz Qazi dan rakannya, John Kim dari Korea Selatan, yang masing-masing menyambut Hari Kebangsaan pada 15 Ogos lalu, turut mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas sambutan Hari Kebangsaan ke-68 esok.
-FN-







