Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Keselamatan Bekalan Makanan Jadi Keutamaan Selangor – Amirudin

By 1 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 1 Sep (MalaysiaAktif) – Keselamatan bekalan makanan menjadi keutamaan kerajaan negeri Selangor apabila mula membina kapasiti simpanan beras dan daging bagi kegunaan sebulan, dengan sasaran meningkatkan stok sehingga tiga bulan menjelang tahun ketiga pelaksanaannya.

Petugas PKPS sedang menyediakan dua pakej barangan keperluan asas bernilai RM50 dan RM100 yang boleh dibeli penerima SARA di Karnival 100 JER.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu penting sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan krisis pada masa depan selain membina ekosistem kukuh dalam sektor makanan negeri.

“Keselamatan bekalan makanan adalah keutamaan kerajaan negeri, kini kita sudah mula bina kapasiti simpanan beras dan daging untuk kegunaan sebulan. Insya-Allah menjelang tahun ketiga nanti, kita mampu menyediakan stok simpanan sehingga tiga bulan bagi menghadapi sebarang krisis,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival 100 JER (Jualan Ehsan Rahmah) di Padang Batu Caves, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan kerajaan negeri turut mengambil inisiatif melalui pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan nilai tambah menerusi penganjuran Karnival 100 JER.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan, malah memastikan nilai RM100 yang diterima melalui SARA dapat dimanfaatkan dengan lebih tinggi.

Antara warga Gombak yang hadir di program Karnival 100 JER.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata inisiatif tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat menerima manfaat berganda daripada setiap bentuk bantuan yang disalurkan.

Menurutnya, dua pakej utama ditawarkan menerusi karnival itu iaitu Pakej RM100 dengan nilai sebenar RM160 dan Pakej RM50 dengan nilai sebenar RM87.

“Melalui pakej ini, rakyat bukan sahaja dapat membeli barangan asas dengan harga berpatutan, malah berpeluang menikmati nilai tambahan yang lebih tinggi. Inilah cara kita menterjemahkan usaha kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban sara hidup rakyat,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda