Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tradisi 20 Tahun Meriahkan Sambutan Merdeka di Kampung Jaya Baru Lumadan

By 1 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurhawa Baizura Mohd Amin (Beaufort)

BEAUFORT, 1 Sep (MalaysiaAktif) – Setiap kali menjelang bulan Ogos, kediaman Jamal Jakim, 74, di Kampung Jaya Baru Lumadan di sini pasti dihiasi dengan Jalur Gemilang yang berkibar megah, sekali gus menyerikan suasana kampung dengan warna patriotik.

Jamal menunjukkan sijil penghargaan yang pernah diterima arwah bapanya sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-53.

Tradisi menyambut Hari Kemerdekaan ini telah diamalkan keluarganya sejak lebih 20 tahun lalu dan terus dikekalkan hingga hari ini.

“Tradisi ini bermula daripada arwah bapa saya, Jakim Kemin, dan kini saya teruskan dengan penuh rasa tanggungjawab serta semangat patriotik. Hiasan bendera bukan sekadar simbol, tetapi menjadi warisan keluarga yang merapatkan lagi hubungan kejiranan di kampung.

“Setiap tahun, sambutan diadakan dengan pelbagai aktiviti seperti sukaneka, pertandingan mewarna, busana merdeka, nyanyian lagu patriotik serta upacara menaikkan Jalur Gemilang sempena ambang 31 Ogos,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Sabtu.

Bagi Jamal, sambutan ini juga penting untuk memastikan generasi muda tidak melupakan sejarah negara dan terus menghargai nilai kemerdekaan.

“Hari Kemerdekaan bukan hanya tentang perarakan atau kibaran bendera, tetapi juga mengenang jasa mereka yang berjuang demi tanah air. Ia turut menjadi wadah menyatukan masyarakat kampung dalam suasana penuh semangat patriotik,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Komuniti Kampung Lumadan, Dayang Surinah Mohd Karim, 55, berkata sambutan ini membuktikan bahawa Hari Kemerdekaan boleh diraikan dengan pelbagai cara.

“Sambutan ini membuktikan bahawa Hari Kemerdekaan boleh disambut dalam pelbagai cara, sama ada secara besar-besaran atau sederhana tetapi penuh makna.

“Yang penting adalah nilai dan semangat di sebalik sambutan itu. Walaupun secara sederhana, ia tetap memberi kesan mendalam kepada penduduk kampung dan mampu menyemai rasa cinta akan negara,” katanya.

Beliau turut berharap tradisi seperti ini akan terus diteruskan oleh generasi muda agar semangat patriotik tidak luntur ditelan masa.

Dengan tradisi yang terus hidup dan semangat yang tidak pernah luntur, sambutan di Kampung Jaya Baru Lumadan menjadi bukti bahawa kemerdekaan bukan sekadar perayaan tahunan, tetapi lambang perpaduan serta kecintaan kepada tanah air.

-RJ-

Tinggalkan komen anda