
Laporan/ foto : Ahgenis Adin/ Saadi Pasong (Sarawak)
SIBU, 4 Sep (MalaysiaAktif) – Semangat patriotisme menyerlah apabila warga sekolah bersama Komuniti MADANI Bazzar Durin menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan penuh meriah di SK Sungai Durin, hari ini.
Program Jiwa Komuniti MADANI Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2025 anjuran Pejabat Penerangan Daerah Sibu itu bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia yang ke-62 pada tahun ini bertujuan memupuk semangat cintakan negara terutamanya kepada golongan pelajar.

Pelajar dan guru SK Durin menyambut ketibaan tetamu dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Awam Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Kaunselor David Entulu berkata tarikh berkaitan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia merupakan asas kepada lahirnya sebuah negara Malaysia yang aman, berdaulat, merdeka dan makmur.
“Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sekadar tarikh penting di dalam kalendar kita tetapi ia juga menjadi lambang penyatuan hati, perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu di dalam membina negara bangsa yang kita cintai ini iaitu Malaysia,” katanya lagi ketika merasmikan program tersebut.
Beliau turut menyeru semua pihak berkerjasama memupuk semangat patriotisme ke dalam jiwa generasi muda dan golongan itu harus memahami bahawa rasa cinta kepada negara mesti diterjemahkan kepada tindakan yang berunsur patriotik.

David Entulu (lima dari kanan) memacak Jalur Gemilang sebagai simbolik pelancaran Program Jiwa Komuniti MADANI Sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di SK Sungai Durin, Sibu.
“Marilah kita bersama nyalakan kembali semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat kita terutamanya kepada golongan muda melalui beberapa tindakan yang boleh dilakukan antaranya menjaga keamanan, menghormati kepelbagaian dan menyumbangkan kepada pembangunan masyarakat,” jelasnya.
Turut hadir pada program tersebut Pegawai Penerangan Daerah Sibu Zaini Morshidi, Guru Besar SK Sungai Durin Sumbang Unjong dan Ketua Komuniti MADANI Bazzar Durin Datuk Teo Boon Siew.
-RJ-





