
Laporan/foto: Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 5 Sep (MalaysiaAktif) – Dalam usaha memperkukuh hubungan antara kerajaan dan masyarakat, Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI@Sembang Santai diperkenalkan sebagai satu inisiatif berkonsepkan dialog terbuka dan perkongsian mesra bersama warga komuniti.

Sesi sembang santai yang membuka ruang kepada peserta berkongsi pendapat dan pandangan.
Program ini dilaksanakan dengan memberi ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan penjelasan daripada wakil agensi kerajaan serta menyuarakan pandangan mereka secara lebih terbuka.
Satu sesi sembang santai telah diadakan bersama warga Komuniti MADANI Pekan Pendang dan masyarakat sekitar di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Bukit Raya semalam bagi berkongsi mengenai dasar dan program yang telah dan sedang dijalankan oleh kerajaan seperti inisiatif pengurangan kos sara hidup, program keusahawanan komuniti serta agenda pembangunan sosioekonomi setempat.
Salah seorang peserta yang hadir, Abd Ghani, 50, melahirkan penghargaan kerana peluang sebegini membolehkan mereka lebih memahami pelbagai dasar kerajaan serta manfaat program yang disediakan.
“Program ini juga dapat merapatkan hubungan antara masyarakat dan agensi kerajaan, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam membina komuniti yang sejahtera,” ujarnya.

Komunikasi dua hala yang membantu memastikan maklumat yang disampaikan dapat difahami.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Pendang Syamimi Aaizag Ibrahim, konsep sembang santai dipilih kerana lebih mesra rakyat dan mampu mewujudkan suasana perbincangan yang terbuka.
“Masyarakat setempat tidak hanya menjadi pendengar pasif, sebaliknya berperanan aktif dalam membincangkan isu-isu pembangunan komuniti,” katanya.
Tujuan utama penganjuran Program JIWA Komuniti MADANI@Sembang Santai adalah untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui platform yang santai tetapi berinformasi melalui penyampaian maklumat yang tepat, mendengar suara komuniti serta meningkatkan penglibatan masyarakat.
-RI





