
Laporan/ foto : Florence Sebastian Unting/Jane Chua (Sarawak)
SARATOK, 10 Sep (MalaysiaAktif) – Di Kampung Nyabor, di sini, nama Abidah Juki atau lebih mesra disapa Kak Bidah, cukup dikenali apabila berbicara tentang kuih tradisional yang semakin jarang ditemui iaitu kuih denderam.
Dalam suasana desa yang masih mengekalkan nilai tradisi, usaha warga emas berusia 68 tahun itu dalam menghidupkan kembali pembuatan kuih warisan berkenaan bukan sahaja menjadi sumber inspirasi, malah turut memperkukuh identiti budaya masyarakat setempat.
Menariknya, Kak Bidah bukanlah seorang cef terlatih. Bahkan, dirinya tidak pernah mengikuti sebarang bengkel atau kursus masakan. Segala kemahiran yang dimilikinya lahir daripada pengalaman dan minat mendalam terhadap resipi turun-temurun.
DARI SEBUAH VIDEO YOUTUBE
Semangat ingin mencuba dan tidak mahu warisan nenek moyang pupus begitu sahaja, mendorong beliau menceburi pembuatan kuih denderam dua tahun lalu, dengan semuanya bermula daripada hanya menonton video di YouTube.
“Mula-mula saya tengok video orang Semenanjung buat kuih ini. Saya cuba, tapi tak menjadi. Ada yang keras, ada yang hangit, ada yang terlalu liat. Tapi saya tak putus asa,” katanya sambil tersenyum, mengimbau kenangan awal yang penuh cabaran kepada MalaysiaAktif, baru-baru ini.
Percubaan demi percubaan, Kak Bidah akhirnya berjaya mendapatkan adunan tepat yang lembut untuk diuli, mudah dibentuk, dan menghasilkan kuih denderam yang rangup di luar serta sedikit kenyal di dalam.

Abidah Juki atau Kak Bidah menunjukkan kuih denderam yang kini menjadi sumber pendapatan kecilnya.
KEUNIKAN KUIH DENDERAM
Kuih denderam yang juga dikenali sebagai kuih peneram di sesetengah tempat merupakan sejenis kuih tradisional masyarakat Melayu yang popular terutamanya di negeri-negeri seperti Kedah, Perlis, Perak dan Sarawak.
Ia diperbuat daripada beberapa bahan seperti tepung beras, minyak dan gula apong (gula nipah tempatan yang menjadi identiti Sarawak).
Keistimewaannya terletak pada gula apong, bahan manisan asli dari pokok nipah yang hanya terdapat di kawasan pesisir dan rawa seperti di Sarawak yang menjadikan rasa denderam versi Sarawak unik dan lebih aromatik.
Menurut Kak Bidah, proses pembuatannya memerlukan kemahiran bagi mendapatkan adunan yang tepat sebelum direhatkan terlebih dahulu buat beberapa ketika.
Ia kemudiannya akan dibentuk bulat dengan lubang di tengahnya seakan-akan donat kecil sebelum digoreng dalam minyak panas.
“Tekstur kuih ini yang rangup di luar dan sedikit kenyal di dalam, ditambah dengan rasa manis yang seimbang, menjadikannya kegemaran pelbagai peringkat umur dari kanak-kanak hingga warga emas,” katanya.
KECIL TAPI PENUH MAKNA
Walaupun hanya menghasilkan kuih secara kecil-kecilan, sambutan terhadap kuih denderam Kak Bidah amat menggalakkan. Setiap minggu, beliau menerima tempahan daripada penduduk kampung sekitar dengan ada yang membeli untuk hidangan harian dan ada juga yang memesan bagi majlis pertunangan, doa selamat atau sambutan hari keluarga.
“Saya buat ikut kemampuan saja. Ada yang datang ke rumah, ada juga yang telefon untuk tempah awal. Kuih ini susah nak jumpa sekarang, jadi bila orang tahu saya buat, mereka pun suka datang beli,” ujarnya.
Meskipun sekadar inisiatif menambah pendapatan dan mengisi masa lapang, Kak Bidah mengakui kegembiraan sebenarnya hadir daripada sokongan masyarakat yang terus menghargai hasil tangannya.
“Saya sebenarnya gembira apabila ramai yang meminati kuih ini. Itu sudah menjadi satu kepuasan bagi saya,” katanya penuh kesyukuran.

Rabaie Sulai, penggemar penggemar kuih denderam hasil tangan Kak Bidah.
PENERUS WARISAN
Kuih denderam dahulunya bukan sekadar kudapan harian di beranda rumah panjang, malah sering disediakan ketika musim menuai. Dan kini, ia masih dihidangkan dalam acara dan sambutan tertentu seperti kenduri, majlis perkahwinan dan Hari Raya.
Namun, seiring perubahan masa, kuih ini semakin jarang ditemui apabila ia secara perlahan-lahan mula digantikan dengan pelbagai kuih moden yang lebih mudah disediakan, selain kurangnya penglibatan anak muda bagi meneruskan pembuatannya.
Maka, di sinilah peranan Kak Bidah sebagai penjaga warisan rasa yang hampir lenyap daripada meja makan generasi muda menjadi sangat penting.
Apa yang menjadikan kisah Kak Bidah lebih mengagumkan adalah hakikat bahawa beliau menghidupkan kembali warisan ini secara pembelajaran kendiri tanpa tunjuk ajar sesiapa.
Dalam usia emasnya, beliau membuktikan bahawa keinginan untuk belajar tidak mengenal batas umur, dan semangat mencintai budaya sendiri mampu menewaskan segala kekangan teknologi dan zaman.
“Saya cuma tidak mahu kuih ini hilang. Kalau saya tak buat, siapa lagi? Anak-anak sekarang tak ramai yang tahu macam mana nak buat kuih denderam,” katanya sambil menunjukkan acuan bulat kecil yang digunakan untuk membentuk kuih itu.
Apa-apa pun, di dapur kecilnya di Kampung Nyabor, bunyi desiran minyak panas dan aroma gula apong menjadi teman setia Kak Bidah kerana dari situlah warisan ini terus hidup, bukan sekadar untuk dijual, tetapi untuk dinikmati dan dikongsi bersama generasi seterusnya.
-RJ-








