
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/JKDM Johor (Johor)
JOHOR BAHRU, 12 Sep (MalaysiaAktif) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan melibatkan air zamzam dan cecair rokok elektronik dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.4 juta dalam siri operasi bulan Ogos lalu.
Pengarah Kastam Negeri Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berkata kes pertama dikesan pada 5 Ogos apabila sepasukan anggota Penguatkuasaan Pasir Gudang menahan sebuah kontena 40 kaki di Bay Pemeriksaan Kontena, Zon Bebas Pelabuhan Johor. Pemeriksaan lanjut pada 14 Ogos menemukan tiga lagi kontena 40 kaki di lokasi sama.

JKDM Johor tahan empat kontena di Zon Bebas Pelabuhan Johor disyaki membawa air zamzam tanpa permit import sah.
“Hasil pemeriksaan rapi menjumpai 21,582 botol atau 107,910 liter air zamzam tanpa sebarang permit import yang sah. Nilai dagangan dianggarkan RM2.58 juta dengan jumlah duti serta cukai sebanyak RM647,460,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 30(1), Peraturan Zon Bebas 1991 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pada 6 Ogos, tindakan pantas Unit Mesin Pengimbas Customs Border Management (CBM) Cawangan Eksport Gelang Patah berjaya menggagalkan cubaan mengeksport barangan tidak diikrar di Kompleks Sultan Abu Bakar.
Sebuah lori jenama Hino yang diikrarkan membawa 84 Bobbins Automotive Wire dikesan menyembunyikan 256 kotak cecair rokok elektronik di bahagian belakang tempat duduk pemandu.

Sebuah lori Hino dikesan sembunyi 256 kotak cecair rokok elektronik di Kompleks Sultan Abu Bakar pada 6 Ogos lalu.
“Anggaran sitaan melibatkan 7,680 unit cecair rokok elektronik bernilai RM46,080 dengan cukai berjumlah RM9,676. Sebuah lori bernilai RM130,000 turut disita dan pemandunya ditahan untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Aminul Izmeer menyeru orang ramai agar tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil negara, malah mendatangkan ancaman terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
-RI





