
Laporan/foto: Norshazila Ahmad/MBSA (Selangor)
SHAH ALAM, 16 Sep (MalaysiaAktif) – Lebih 5,000 peserta telah menyertai program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini semalam.

Acara pelepasan larian ria disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Safriah Md Adzhar (ketiga dari kanan).
Acara larian SIRIM Fun Run yang bertemakan Green Steps, Golden Years 2025 paling mendapat sambutan, disertai lebih 1,700 peserta termasuk warga kerja Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Bagi Norhazniza Mohd Salih, 44, yang datang bersama dua anaknya dari Meru Klang, penyertaan kali ini adalah memori berharga buatnya.

Norhazniza Mohd Salih (tengah) bersama dua anaknya ceria dapat menghabiskan larian sejauh 3 kilometer sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 Shah Alam.
“Ini pertama kali kami sertai fun run (larian ria), walaupun jauh saya sanggup datang, anak-anak pun seronok, cuti sekolah jadi masa terbaik untuk kami beriadah bersama,” katanya.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Banting Mohd Azmi Mohd Azhar, 16, yang juga merupakan atlet olahraga sekolah, menganggap pengalaman menamatkan larian 5 kilometer itu sebagai sesuatu yang tidak ternilai.
“Alhamdulillah, pertama kali saya menyertai aktiviti fun run bersama ibu dan adik saya, memang teruja sebab tak sangka ramai yang sertai larian hari ini, saya harap ada lebih banyak program sebegini,” katanya.
Turut diadakan Rakan Muda Yellow Kaler Run dan larian daripada Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor.
Selain larian, turut dijalankan adalah kayuhan santai, senamrobik, Bazar Belia Shah Alam, Pasar Seringgit, aktiviti kraf oleh Galeri Shah Alam serta persembahan muzik oleh Kombo MBSA.
Acara pelepasan disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Safriah Md Adzhar yang turut mengalu-alukan penyertaan masyarakat dalam usaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar lebih sihat, mesra alam dan bebas karbon.
-RI





