
Laporan/ foto : Norlia Mili/ Foto Dewan Bandaraya Kuching Utara (Sarawak)
KUCHING, 22 Sep (MalaysiaAktif) – Penyertaan secara berkeluarga dalam Kuching Marathon 2025 edisi ke-10 kelmarin bukan sahaja menjadi simbol sokongan antara satu sama lain, malah menggambarkan bahawa maraton bukan sekadar sukan tetapi juga wadah mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Dayang Rubyiani Adauyah Abang Mohd Hashim, 46, mulanya berlari secara suka-suka tetapi kemudiannya memberanikan diri menyertai Kuching Marathon pada tahun 2022 dalam kategori Half Marathon sejauh 21 kilometer (km).
“Pada tahun ini, saya bertekad untuk menamatkan cabaran penuh dengan mencuba jarak 42km yang bermula di Padang Merdeka, melalui beberapa laluan yang ditetapkan dan kemudiannya berakhir di Pejabat Pos Kuching.
“Walaupun bukan mudah, namun lebih bermakna kerana pada tahun ini saya disertai anak-anak yang turut sama berada di garisan permulaan pada kategori yang berbeza,” ujar Dayang Rubyiani yang telah berjaya menamatkan larian dalam tempoh hampir 6 jam.

Dari kiri, Dayang Rubyiani Adauyah, Dhia Balqis Batrisyia, Dhia Damia Arissa dan Muhd Haris Haziq merakam foto bersama setelah larian tamat.
Anak sulung, Dhia Balqis Batrisyia Dol Hadi, 17, memilih kategori 5km, manakala adiknya, Dhia Damia Arissa, 16, berlari dalam kategori Half Marathon sejauh 21km, sementara anak lelakinya, Muhd Haris Haziq, 14, menyertai kategori 10km.
“Walaupun hanya berlari 5km, saya bangga dapat bersama ibu dan ini pengalaman yang akan saya kenang sampai bila-bila,” kata Dhia Balqis.
Menurut Dhia Damia pula, maraton bukan sekadar cabaran fizikal tetapi juga kekuatan mental yang penting.
“Saya pula melihat ibu sebagai inspirasi utama menyertai larian ini,” katanya lagi, sambil disokong adiknya, Haris.
Larian edisi ke-10 itu terus mendapat sambutan hangat dengan penyertaan kira-kira 14,000 peserta dari dalam dan luar negara, sekali gus mengangkat nama Kuching sebagai destinasi larian bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja mencabar ketahanan fizikal malah mengeratkan hubungan kekeluargaan.
-RJ-





