
Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad (Pokok Sena)
POKOK SENA, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi hari ini berjaya memperkasakan kesedaran siber dan keselamatan internet dalam kalangan pelajar, termasuk murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) melalui pelbagai aktiviti interaktif yang santai tetapi penuh pengisian ilmu.

Pelajar bersemangat menjawab soalan Kuiz Internet Selamat.
Kempen Internet Selamat (KIS) oleh NADI yang merupakan antara pengisisan program memberi pendedahan tentang risiko penipuan dalam talian serta langkah pencegahan bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa.
Penyelaras Kelab Malaysiaku Lyana Athirah Mohd Saad turut menyampaikan taklimat berkaitan buli siber, penggunaan Internet selamat dan isu semasa.
Lyana Athirah menekankan bahaya fenomena ketagihan menonton video pendek di media sosial seperti TikTok yang boleh menjejaskan tumpuan dan prestasi pelajar.
“Say No to Bully. Jangan takut untuk melaporkan kepada guru, kaunselor atau pihak berwajib sekiranya anda menjadi mangsa buli,” tegasnya.

Pelajar tekun mendengar taklimat mengenai buli siber.
Seorang peserta Muhammad Adam Raziq Abdullah, 13, berkata aktiviti yang dijalankan amat menyeronokkan kerana mudah difahami selain menambah pengetahuan baharu.
“Program ini bukan sahaja menyeronokkan, malah saya dapat belajar cara menggunakan Internet dengan lebih selamat,” katanya.
Penolong Kanan Kokurikulum Mohd Zaki dan Muhammad Adam Raziq diumumkan sebagai Ikon Guru dan Pelajar Kempen Internet Selamat SMK Jabi.
-RI





