
Laporan/ foto : Nyempal Inggang/Jonathan Jantai (Sarawak)
LUBOK ANTU, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Di tengah-tengah pekan kecil Lubok Antu, berdiri megah sebatang pokok kemboja, saksi bisu perjalanan masa yang bagi orang luar mungkin hanya kelihatan seperti pohon tua berdaun jarang, berbunga putih atau merah jambu lembut, lalu menggugurkan kuntumannya ke tanah tanpa banyak dipedulikan.
Namun bagi masyarakat setempat, pokok ini menyimpan seribu cerita, kenangan dan nostalgia yang tidak ternilai keranatelah lama bertapak di Pekan Lubok Antu.
Generasi demi generasi membesar dengan memandangnya, sejak zaman pekan dan pasar lama dipenuhi deretan gerai kayu sehinggalah kini, ketika arus pembangunan dan permodenan terus mengubah wajah sekitarnya.

Suatu hari nanti, Pekan Lubok Antu akan semakin membangun namun pokok kemboja ini harus dipertahankan sebagai kengan silam yang berterusan.
Bunganya yang mekar sering menghiasi jalan, mengeluarkan bau harum lembut sehingga membuatkan ramai terhenti sejenak lantas terkenang pelbagai memori silam di situ.
Bukan sekadar pokok tetapi golongan berusia di sini sering menjadikan ia sebagai tanda arah atau sebagai titik pertemuan jika ingin mengadakan pertemuan di pekan ini dan dahulunya, ia adalah lokasi kanak-kanak bermain dan berlari-lari.
Pokok ini juga pernah menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa dari hari pasar mingguan, upacara keramaian hinggalah ke pertemuan anak muda yang mula berputik cinta di bawah rendangannya.
Bagi yang bersekolah pula, suatu ketika dahulu di situlah mereka menunggu bas ke sekolah dan sebelumnya tiba bas, mereka duduk di bawah naungan pokok kemboja ini, berbual dan ketawa sesama rakan.
Kini, meskipun masa terus berjalan dan Pekan Lubok Antu semakin berubah, pokok kemboja itu tetap teguh di tempatnya seakan menjadi simbol bahawa di sebalik arus pembangunan, masih ada sesuatu yang kekal untuk menghubungkan masa lalu dengan masa kini.
Pokok kemboja di tengah Pekan Lubok Antu bukan sekadar tumbuhan hiasan kerana ia adalah sebahagian daripada identiti dan memori kolektif masyarakat di sini yang lambang nostalgia terus hidup dalam ingatan setiap orang yang pernah melihatnya.
-RJ-







