
Laporan/ foto : Mohd Indah Putra (Sarawak)
LUNDU, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Perayaan Kuih Bulan atau Mid-Autumn Festival peringkat daerah Lundu-Sematan 2025 menghimpunkan lebih 300 pengunjung daripada pelbagai lapisan kaum, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan masyarakat setempat, di sini semalam.
Festival anjuran Persatuan Chung Hua Lundu dengan kerjasama agensi kerajaan serta komuniti setempat itu diadakan dari 1 hingga 5 Oktober di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Chung Hua Lundu, di sini.
Bertemakan “Sinaran Bulan, Membawa Perpaduan”, penganjuran kali ini menampilkan sebanyak 23 gerai yang menawarkan makanan tradisional Cina, Melayu dan Selako, selain turut diserikan dengan pameran kebudayaan oleh artis tempatan Bong Sing Cheong, pameran seni serta produk etnik tempatan.

Dr Sim bersama yang lain di hadapan replika bulan bercahaya.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.
Dalam ucapannya, Sim menegaskan bahawa festival tersebut bukan sahaja menjadi platform meraikan tradisi masyarakat Cina, malah turut membawa simbolik kepada pengukuhan perpaduan kaum dan keterangkuman masyarakat majmuk di Sarawak.
“Perayaan ini juga menggalakkan penyertaan pelbagai etnik melalui aktiviti seperti persembahan pentas, pertandingan membuat tanglung dan melukis. Namun, mesej utamanya adalah untuk membolehkan generasi muda memahami makna mendalam Festival Pertengahan Musim Luruh, termasuk memperkukuhkan keharmonian serta persahabatan antara kaum,” katanya.

Menariknya kaligrafi tulisan Cina ditulis di cawan kertas.
Beliau turut mengimbau sejarah Dewan Qi Zhao Lou yang dinamakan sempena penderma tanah, mendiang Hong Qi Zha, yang pernah berfungsi sebagai satu-satunya tadika Cina di kawasan berkenaan.
Pada majlis sama, Sim memaklumkan Dewan Persatuan Chung Hua Lundu akan dibina semula di bawah Projek Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kerja pembinaannya dijangka bermula tahun hadapan.
“Persatuan Chung Hua Lundu telah ditubuhkan pada 1939, dibatalkan pada 1996 dan didaftarkan semula pada 2003. Kini, persatuan tersebut memiliki lebih 500 ahli yang akan terus memainkan peranan aktif dalam bidang pendidikan serta kebajikan masyarakat Cina di sini,” katanya.

Persembahan kebudayaan kaum Cina tarikan utama majlis.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Niponi Udek, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Berahim, Ketua Polis Daerah Lundu Supt Sudirman Kram, Pengerusi Persatuan Chung Hua Lundu Hoh Chin Seng dan Ketua Masyarakat Kaum Cina Pemanca Chin Kian Ming.
-RJ-





