
Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad
KUCHING, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Setiap tahun apabila menjelang bulan kemerdekaan, semangat kemerdekaan dan semangat cinta akan negara tidak pernah padam dalam perjuangan untuk kemakmuran dan keamanan negara kita, Malaysia.
Menjelang hari keramat bagi negara kita, 31 Ogos 1957 pada setiap tahun seorang pejawat awam, Samsudin Abdul Wahad, 57 sentiasa bersemangat menggantung dan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap ruang pejabat dan di sekeliling bangunan-bangunan untuk menghidupkan suasana kemerdekaan.
“Setakat ini menurutnya sebanyak dua ribu lebih bendera telah dipasang dan berkibar dengan megahnya di sekitar premis sejak Ogos lagi.
“Semangat kemerdekaan ini tidak pernah padam di sanubari malah setiap kali apabila tiba kempen kibar Jalur Gemilang, hati saya berkobar-kobar untuk memasang bendera kerana semangat memperjuangkan kemerdekaan sentiasa segar dalam diri saya ” ujarnya yang ditemui semasa beliau giat memasang dan menambahkan lagi keceriaan pejabat pagi tadi.
“Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan ke-59 yang bertemakan ‘Sehati Sejiwa’ pada 31 Ogos ini dan Kempen Kibar ‘Jalur Gemilang’ dilancarkan bagi menunjukkan semangat patriotik kepada pejuang kemerdekaan negara,” katanya.
Samsudin menyeru kepada rakan seperjuangannya supaya jangan kerana sibuk bekerja atau tidak mahu berbelanja untuk membeli bendera menjadi halangan untuk mereka tidak turut sama memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan sempena memperingati sejarah negara kita dahulu.
“Saya pernah mengalami hidup kesengsaraan pada zaman penjajahan komunis. Ketika itu kebebasan semuanya terhad dan terbatas, kita tidak dapat membuat sesuka hati.
“Saya berharap agar generasi sekarang haruslah berusaha menjaga serta mengekalkan keamanan yang dikecapi sekarang dan kita sepatutnya berterima kasih atas perjuangan nenek moyang terdahulu.
“Sekiranya generasi muda sekarang tidak menjaga negara dengan baik serta tidak menghayati serta mengenali sejarah kemerdekaan negara, pasti kenangan pahit akan berulang lagi maka dengan itu kita sama-samalah menjaga keamanan negara kita agar negara kita aman sentiasa,” ujarnya lagi.
SF