Skip to main content
Rencana & Pendapat

Murtabak Jawa Tawau: Warisan Rasa Unik dari Borneo

By 19 Januari 2023Oktober 8th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud

KOTA KINABALU, 19 Jan (MalaysiaAktif) – Murtabak Jawa Tawau merupakan salah satu sajian popular yang sering menjadi pilihan ramai, khususnya ketika bulan Ramadan atau di pasar malam.  Murtabak Jawa Tawau sememangnya tidak asing bagi penggemar makanan di Sabah.

Berbeza sedikit daripada murtabak di Semenanjung, Murtabak Jawa di Tawau menampilkan keunikan tersendiri dari segi rasa, bahan dan cara penyediaan.

Asalnya diperkenalkan oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke Sabah, hidangan ini menjadi bukti gabungan budaya dan cita rasa Nusantara.

Murtabak Jawa biasanya menggunakan inti daging cincang, bawang, telur dan sayur seperti taugeh atau kobis yang digaul dengan rempah khas. Adunannya dibungkus dengan kulit nipis seperti roti canai, kemudian digoreng hingga garing keemasan.

Rangup di luar, lembut di dalam — inilah keistimewaan Murtabak Jawa Sabah

Keistimewaan Murtabak Jawa Tawau terletak pada rasa rempahnya yang lebih lembut dan sedikit manis, selain teksturnya yang lembut di dalam tetapi rangup di luar. Ia sering dihidang bersama sambal cuka atau kuah kari pekat yang menambah lagi kelezatannya.

Bagi masyarakat tempatan, Murtabak Jawa bukan sekadar makanan tetapi ia adalah warisan yang menyatukan budaya, cita rasa dan kenangan.

Kini ia boleh didapati di Kota Kinabalu melalui pengusahanya, Arshad Masdin, 30, yang membuka gerai di Universiti Apartment Sulaman.

“Biasanya kami menyediakan 200 keping murtabak sehari di gerai. Kadangkala mencecah 300 keping apabila permintaan tinggi.

Tak perlu tunggu Ramadan. Murtabak sedap ada setiap hari di gerai Arshad, Universiti Apartment Sulaman.

“Agak mencabar untuk memenuhi permintaan tanpa bantuan pekerja. Buat masa ini, yang bantu di gerai adalah pelajar-pelajar kolej,” kongsinya ketika ditemui media di gerainya, baru-baru ini.

Berintikan sayur kobis, telur, isi ayam atau daging dan sos kicap istimewa menjadikan murtabak Tawau menjadi pilihan peminat murtabak.

Menurut Arshad, dia kini merancang untuk mengeluarkan menu kuih terang bulan istimewa sebagai tambahan menu di gerainya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda