Skip to main content
Sabah

HSN Pantai Barat Galak Gaya Hidup Sihat dan Semangat Perpaduan

By 13 Oktober 2025November 4th, 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Malina Jamarin/Dayang Yusridah Asrin/Fadzlee Ibrah (Tuaran)

TUARAN, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Daerah Tuaran menjadi lokasi penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) Bahagian Pantai Barat 2025 bagi menyemarakkan semangat bersukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Dayangku Rahimah ketika ditemui sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Bahagian Pantai Barat 2025 di Tuaran.

Pegawai Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Pantai Barat, Dayangku Rahimah Pg Hasan berkata, HSN dilaksanakan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun sebagai usaha kerajaan menggalakkan rakyat bergiat aktif dalam aktiviti sukan.

“Antara tujuan HSN ini diadakan adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan menggalakkan rakyat bergiat aktif dalam sukan serta kekal cergas dan sihat melalui pelaksanaan pelbagai program kecergasan oleh KBS dengan pendekatan yang lebih dinamik.

“Selain itu, HSN menyemai semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum agar terus bersatu dan kekal aktif, sekali gus menjadikan sukan sebagai wadah perpaduan serta platform penyatuan Malaysia MADANI yang menjadi fokus Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan di sini pada Isnin.

Dayangku Rahimah turut berharap penganjuran HSN menjadi pemangkin kepada masyarakat setempat untuk mengamalkan gaya hidup sihat terumata komuniti di Tuaran.

“Dengan adanya sambutan HSN Peringkat Bahagian Pantai Barat di Daerah Tuaran pada tahun ini, saya berharap ia menjadi pemangkin semangat untuk masyarakat daerah ini mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan, di samping dapat mengasah bakat generasi muda dari peringkat akar umbi dalam bidang sukan yang diminati,” ujarnya.

Fiona berkongsi keterujaannya menyertai acara Fun Run sempena sambutan itu.

Peserta HSN, Fiona Danny, 48, dari Kampung Tombongon, Kiulu berkata program tersebut memberi ruang kepada masyarakat untuk kembali aktif menerusi acara yang interaktif.

“Saya memang minat bersukan, terutama dalam acara larian. ‘Fun Run’ juga bagus kerana dapat menyihatkan badan dan merehatkan minda. Kerana minat bersukan, saya akan tetap menyertai apa jua acara di mana pun ia diadakan,” katanya.

Sementara itu, Jordi Catyaleya Lavissa Benedict, 12, dari Sekolah Kebangsaan Wasai, berkata beliau berasa gembira dan bertuah kerana terpilih menyertai pertandingan catur sempena HSN kali ini.

Jordi Catyaleya (depan) gembira kerana terpilih menyertai pertandingan catur pada HSN kali ini.

“Saya berterima kasih kepada pihak sekolah kerana memilih saya menyertai acara ini sempena HSN. Saya berharap pada masa akan datang dapat menyertai lagi acara sukan yang dianjurkan kementerian. Apa yang penting, saya dapat kenal kawan baharu dan bertukar pandangan tentang permainan catur,” ujarnya.

Antara pengisian sempena HSN tahun ini ialah Larian Ria Madani (Fun Run), Kayuhan Ria Madani (Fun Ride), Berjalan Ria Madani (Fun Walk), Tendangan Sepak Penalti, Karom, Catur, Boling Kelapa serta Sukaneka Kanak-Kanak.

Turut memeriahkan program ialah Pertandingan ‘Orang Kuat Sabah’ yang menampilkan peserta dari Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Aktiviti senamrobik oleh Puspanita Tuaran dan Kelab Aerodance Tuaran turut menceriakan suasana sambutan dengan penyertaan orang ramai dari pelbagai peringkat umur.

-RJ-

Tinggalkan komen anda