
Laporan/Foto: Helmie Ekni (Sarawak)
TANJUNG MANIS, 14 Okt (MalaysiaAktif) – Daerah Tanjung Manis di Sarawak semakin menyerlah sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi kerana kawasan ini dikelilingi perairan yang kaya dengan biodiversiti marin, termasuk landskap pesisir yang memukau dan menarik untuk aktiviti memancing bagi pelancong tempatan mahupun luar negara.

Pemenang-pemenang Pertandingan Memancing Final Grand Prix Pantai Iftitah 2025 bersama Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abdul Wahab (tiga kiri).
Tinjauan sebelum ini mendapati Kampung Belawai, sebuah kampung nelayan di sini, memiliki kelebihan geografi dan ekologi tersendiri seperti jeti Kampung Rajang serta kawasan laut dalam yang sering menjadi tumpuan Safari Memancing Tanjung Manis.
Pantai Belawai yang panjangnya mencecah 5.43 kilometer (km) menjadikannya lokasi ideal dan popular bagi pertandingan memancing pantai kerana akses ke kawasan ini juga mudah, iaitu melalui jalan darat dari pusat Tanjung Manis ke bandar berdekatan seperti Sarikei (51 km) dan Sibu (84 km).
Kemudahan Pengangkutan Lengkap dan Strategik
Tanjung Manis turut memiliki lapangan terbang sendiri bagi menampung pesawat jenis Twin Otter dengan penerbangan terus ke Kuching setiap hari, sekali gus mempelbagaikan laluan serta pilihan pengangkutan ke destinasi ini.
Antara entiti utama yang menceriakan aktiviti memancing di Belawai ialah Iftitah Restaurant & Resort Belawai, yang aktif menganjurkan pertandingan memancing saban tahun serta sering menarik penyertaan meluas termasuk dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Labuan dan Brunei Darussalam.

Suasana Pertandingan Memancing SHIMANO Malaysia di Pantai Belawai pada 28 Julai 2019 dengan hadiah utama RM50,000.
Selain itu, syarikat SHIMANO Malaysia turut pernah menganjurkan pertandingan berprestij, iaitu Shimano International Surfcasting Challenge Cup 2019 yang menawarkan hadiah utama sebanyak RM50,000.
Belawai Tumpuan Utama Kaki Pancing
“Kawasan ini sememangnya lokasi utama bagi pemancing, dan pertandingan memancing yang sering diadakan di sini membuktikan kesesuaian lokasi ini menjadi tumpuan bagi aktiviti sebegini,” kata Azri Mee, 44, salah seorang peserta Final GP Memancing Pantai Iftitah Belawai 2025.
Menurutnya, perairan Belawai sememangnya menjadi habitat kepada pelbagai spesies ikan seperti pari, siakap, kerapu, mancung, senangin, kedera dan sebagainya, menjadikannya lokasi yang digemari oleh pemancing tempatan mahupun luar.
Selain itu, pembangunan pelancongan pesisir yang dirancang oleh kerajaan negeri Sarawak membabitkan pembinaan hotel, inap desa dan padang golf pada masa hadapan di Belawai secara tidak langsung akan memperkukuh lagi daya tarikan kawasan ini sebagai destinasi sukan memancing bertaraf antarabangsa.
Safari Memancing Tanjung Manis Tarikan Pelancongan Baharu

Hasil tangkapan pelbagai jenis ketika Pertandingan Memancing Cabaran Pesisiran Rajang 2025 di Jeti Kampung Rajang.
Safari Memancing Tanjung Manis bukan sahaja menjadi acara sukan rekreasi yang paling dinanti-nantikan, malah turut memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan serta mempromosikan pelancongan di kawasan sekitar.
Pada masa sama, ia merupakan acara tahunan yang semakin mendapat tempat dalam kalendar pelancongan Sarawak dan merangkumi dua kategori utama, iaitu kategori memancing laut dalam melibatkan bot dan peserta yang bertolak ke perairan terbuka Laut China Selatan dari muara Kuala Rajang.
Cadangan untuk memasukkan Safari Memancing Tanjung Manis dalam kalendar pelancongan Sarawak mulai tahun 2026 juga menyumbang kepada perhatian ramai pihak untuk datang ke sini.
Kategori kedua pula melibatkan penggunaan perahu gentian kaca dengan peserta memancing di kawasan muara Kuala Rajang hingga ke kawasan Gunong Ayer.
Peluang Ekonomi dan Kesedaran Alam Sekitar
“Pertandingan memancing di sini semakin mendapat perhatian kaki pancing termasuk dari kawasan luar, dan mungkin boleh dinaikkan lagi jumlah hadiah kemenangan setiap kategori bagi menarik lebih banyak penyertaan dalam dan luar negeri, yang secara tidak langsung memperkenalkan kawasan ini secara lebih terbuka,” ujar Abdul Taib Mahmud, 58, yang juga sering menyertai pertandingan memancing di sini.

Menurut Abdul Taib, pertandingan memancing di sini semakin mendapat perhatian kaki pancing dan kerana itu mungkin hadiah kemenangan dapat dinaikkan lagi.
Beliau menambah penganjuran acara ini bukan sahaja mempromosikan aktiviti rekreasi, tetapi juga meningkatkan kesedaran pemeliharaan alam sekitar, menggalakkan semangat kekeluargaan dan silaturahim serta memacu ekonomi tempatan melalui pelancongan dan perniagaan kecil.
Antara perancangan masa depan termasuk pembinaan tukun tiruan untuk merangsang pembiakan ikan dan melindungi perairan tempatan.
Infrastruktur seperti lapangan terbang dan jalan raya bagi memudahkan akses pelancong turut diberikan perhatian, dan paling penting, penerbangan antarabangsa terutamanya AirBorneo yang apabila mula beroperasi diharap akan membawa pelancong dari Korea dan Jepun, sekali gus membuka peluang kepada pemancing antarabangsa.
Tanjung Manis Ke Arah Destinasi Memancing Bertaraf Antarabangsa
Gabungan pembangunan fizikal dan promosi berterusan pastinya akan menjadikan Tanjung Manis, khususnya Kampung Belawai, sebagai pusat sukan memancing yang unggul di rantau ini.
Dengan perancangan yang teliti dan sokongan berterusan, Tanjung Manis diyakini mampu melonjak sebagai destinasi memancing dan pelancongan utama di Sarawak.
-RJ-







