
Laporan/ foto : Helmie Bin Ekni/ Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) (Sarawak)
TANJUNG MANIS, 15 Okt (MalaysiaAktif) – Di sebalik kehijauan sawah yang terbentang luas di Sungai Bapak, Kampung Rajang, tersimpan kisah transformasi luar biasa apabila tanah terbiar hampir setengah abad kini menjadi nadi kepada cita-cita besar Sarawak untuk mencapai kedaulatan makanan dan muncul sebagai pengeksport beras menjelang tahun 2030.
Tanah seluas 800 ekar yang dahulunya sunyi tanpa hasil kini mampu mengeluarkan empat tan padi sehektar bagi dua musim setahun satu pencapaian yang bukan sekadar angka, tetapi simbol kebangkitan tanah yang pernah dianggap tidak bernilai.

Abang Jo menyaksikan proses penuaian padi yang dimasukkan ke dalam guni selepas dituai.
Transformasi ini terpacu di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menekankan pendekatan moden dan kolaboratif berdasarkan hala tuju pembangunan tanah yang strategik dan bersepadu.
Usaha Kerajaan Sarawak Bersama Semua Pihak: Teknologi dan Penyelidikan Pacu Kejayaan
Projek penanaman padi di Sungai Bapak bukan sekadar bergantung kepada penggunaan teknologi, tetapi turut diasaskan pada semangat kepercayaan serta kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan pemilik tanah.
Melalui sistem sewaan yang adil, pemilik tanah yang sebelum ini tidak mampu mengusahakan aset mereka kini memperoleh pendapatan tetap. Dalam masa sama, syarikat swasta seperti Padihead Sdn. Bhd. membawa masuk modal, kepakaran serta mesin berskala besar yang mampu menanam sehektar padi dalam tempoh hanya 50 minit.
“Melihat kepada kerjasama antara kerajaan, swasta dan pemilik tanah, gabungan ini cukup mantap serta mampu membuahkan hasil menang-menang. Diharapkan usaha pemodenan pertanian di Sarawak terus berjaya melalui penggunaan jentera moden, penyelidikan dan inovasi,” ujar Zallami Lidin, 48, dari Bau ketika ditemui baru-baru ini.

Zallami Lidin berharap kejayaan pemodenan pertanian di Sarawak terus diperkukuh melalui penerapan teknologi moden dan penyelidikan berterusan.
Fasa pertama skim ini bermula pada November 2023 dengan keluasan 130 ekar dan berjaya menghasilkan 63 tan metrik padi. Fasa kedua pula menambah lagi 130 ekar, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan kini 260 ekar.
Kawasan berpotensi ini mampu dikembangkan sehingga 865 ekar dan dijangka terus berkembang apabila lebih ramai pemilik tanah menyertai inisiatif tersebut.
Di sebalik kejayaan ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memainkan peranan penting dari segi sokongan teknikal, manakala Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyumbang kepakaran dalam penyelidikan benih padi bagi memastikan varieti yang dihasilkan lebih tahan terhadap iklim dan penyakit serta berdaya hasil tinggi.
Sasaran 242,000 Tan Metrik Beras Tampung Kegunaan Tempatan
Dengan sasaran pembukaan 14,000 hektar tanah padi di kawasan ini, Sarawak berhasrat menghasilkan 242,000 tan metrik beras yang mencukupi untuk kegunaan tempatan. Sekiranya diperluaskan, pengeluaran mampu mencecah 480,000 tan metrik, sekali gus membuka peluang eksport beras tempatan ke pasaran antarabangsa.
Cadangan untuk menjadikan Kuala Rajang sebagai jelapang padi utama Sarawak semakin mendapat perhatian dengan penglibatan kawasan berpotensi tinggi seperti Daro, Igan dan Semop dalam revolusi hijau ini.

Jane Manja menyokong dan memandang positif usaha kerajaan menjadikan Kuala Rajang sebagai salah satu lubuk padi utama di Sarawak.
“Membangunkan kawasan Kuala Rajang sebagai lubuk padi perlu dilihat secara positif dan disokong oleh semua pihak. Saya berharap anak benih padi dari Sungai Bapak, Kampung Rajang juga dapat diberikan kepada pesawah di kawasan Sebayang untuk ditanam,” kata Jane Manja, 55, dari Sarikei yang bersetuju dengan cadangan tersebut.
Realisasi Sarawak Sebagai Kuasa Agro Serantau
Dengan peruntukan RM500 juta bagi pembangunan sektor padi di kawasan utara Sarawak, matlamat untuk membangunkan 25,000 hektar sawah dalam masa terdekat bukan lagi sekadar impian.
Lebih daripada sekadar pengeluaran hasil pertanian, projek ini membawa harapan baharu kepada masyarakat setempat membuka peluang pekerjaan, menjana pendapatan dan mengangkat taraf hidup penduduk kampung.

Penggunaan jentera moden merancakkan lagi aktiviti penanaman padi di Sungai Bapak, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil bagi dua musim setahun.
Projek penanaman padi moden di Tanjung Manis bukan hanya transformasi fizikal, tetapi juga manifestasi visi, keberanian dan semangat baharu dalam merealisasikan hasrat menjadikan Sarawak sebagai kuasa agro yang disegani di negara dan rantau ini.
Dari tanah terbiar, kini tumbuh lumbung harapan bukti bahawa dengan perancangan rapi dan kerjasama menyeluruh, transformasi pertanian Sarawak sedang melangkah ke arah masa depan yang makmur dan berdaya tahan.
-RJ-







