
Laporan/ foto: Asfalila Razak (Sarawak)
DARO, 17 Okt (MalaysiaAktif) – Hujan tidak menjadi penghalang buat ribuan penduduk Daro dan sekitar hadir ke ke program ceramah oleh Ustaz Abdul Somad Batubara di stadium Mini Dro, di sini semalam.

Ustaz Abdul Somad menyampaikan ceramah Tunjukkan Ku Jalan Yang Lurus di Stadium Mini Daro.
Dalam ceramahnya bertajuk Tunjukkan Ku Jalan Yang Lurus, Abdul Somad menekankan bahawa jalan yang lurus bukan sekadar soal hukum dan larangan tetapi juga soal kasih sayang, hikmah dan kebijaksanaan dalam menyampaikan dakwah.
“Pentingnya berlapang dada dalam menyampaikan dakwah bagi mengelakkan sikap mudah menghukum amalan masyarakat tanpa memahami latar dan hikmah di sebaliknya,” katanya lagi.
Beliau berkata perbezaan pendapat dalam hal agama perlu diraikan dengan penuh hikmah dan keterbukaan kerana ia mencerminkan keluasan ilmu serta kematangan berfikir, bukan dijadikan alasan untuk menimbulkan perpecahan atau saling menyalahkan antara sesama umat.

Siti Julia (kiri) khusyuk mendengar ceramah Ustaz Abdul Somad.
Julia Zaidi, 28, menyifatkan ceramah oleh pendakwah terkenal dari Indonesia itu sebagai sangat menyentuh hati dan membuka ruang muhasabah diri terutamanya dalam memahami erti sebenar mencari jalan yang lurus.
“Penyampaian beliau sangat dekat di hati dan memberi kesan kepada yang mendengarkannya dan pastinya juga ceramah sebeginilah dinantikan untuk diadakan tanpa mengira masa dan tempat,” ujarnya.
Program turut diserikan dengan alunan qasidah yang merdu dan menyentuh jiwa dibawakan oleh Persatuan Qasidah Nurul Musthafa Sibu.
Turut hadir Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Pegawai Daerah Daro Zul Usop dan Pegawai Jabatan Agama Islam Daerah Daro Anas Sarip.
-RJ-





