
Laporan/ foto : Awangku Hamizan (Sarawak)
BELAGA, 18 Okt (Malaysiaaktif) — Komuniti MADANI memainkan peranan penting sebagai penghubung komunikasi antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi yang secara langsung memperkukuhkan perpaduan semua pihak dan menyebar maklumat di kawasan pedalaman.

Michael Mujah merasmikan Program JIWA@Komuniti MADANI Kemasyarakatan Zon Murum di Uma Balui Liko, Sungai Asap, Belaga.
Ahli Dewan Negara Senator Micheal Mujah Lihan berkata demikian ketika merasmikan Program JIWA@Komuniti MADANI Kemasyarakatan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak di Uma Balui Liko, Sungai Asap, Belaga yang berlangsung kelmarin.
Menurut Micheal, program JIWA@Komuniti MADANI merupakan platform terbaik untuk menyampaikan dasar, isu semasa dan inisiatif kerajaan kepada rakyat luar bandar agar mereka memperoleh maklumat yang tepat dan sahih.
“Komuniti MADANI juga sebagai agen pengukuh perpaduan antara kaum di mana toleransi dan kesopanan inilah yang mengukuhkan negara sehingga kini,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Sarawak kini giat menuju ke arah Sarawak Maju dan Digital Menjelang 2030 melalui tumpuan kepada pembangunan utiliti asas, telekomunikasi dan capaian internet menyeluruh termasuk di kawasan pedalaman seperti Belaga.
“Capaian internet yang lebih baik membuka peluang besar kepada kita semua khususnya yang berurusan dengan perniagaan, pendidikan, perubatan dan sebagainya sehinggakan Komuniti MADANI di Belaga juga boleh menjadi usahawan digital yang memasarkan produk tempatan ke seluruh dunia,” jelasnya.
Micheal dalam ucapannya juga menyeru semua ahli Komuniti MADANI agar terus menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan menjadikan Belaga sebahagian daripada wilayah Sarawak yang maju, digital serta berdaya saing.

Persembahan Parap oleh Biro Wanita Uma Balui Liko mengalu-alukan kedatangan Michael Mujah.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu kerana melalui sokongan anda semua, kita pasti dapat menjayakan visi PCDS 2030 dan menjadikan Belaga sebagai sebahagian penting dalam Wilayah Sarawak yang maju dan digital,” ujarnya.
Beliau mengingatkan masyarakat agar berhati-hati dengan penyamun maya atau penipu yang semakin berleluasa di era digital masa kini dan turut menasihati semua pihak untuk menghubungi Hotline 997 (Pusat Respons Scam Kebangsaan) sekiranya menjadi mangsa.
Dalam majlis berkenaan, Micheal turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada tiga zon Komuniti MADANI Belaga iaitu Komuniti MADANI Zon 1 Murum, Komuniti MADANI Zon 2 Murum dan Komuniti MADANI Zon 3 Murum, masing-masing RM1,000 setiap zon dan mengumumkan tambahan sumbangan RM10,000 kepada penduduk Uma Balui Liko.
-RJ-





