Skip to main content
Rencana & Pendapat

Rahsia Di Sebalik Rasa Premium Sesar Unjur Bernilai Tinggi Dari Kuala Matu

By 18 Oktober 2025Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Nurhayati Abdul Halim/ Mohd Haffis Seria (Sarawak)

MATU, 18 Oktober (MalaysiaAktif) – Sesar Unjur merupakan produk tempatan yang unik dan menjadi kebanggaan masyarakat di Daerah Matu, Daro dan Tanjung Manis, Sarawak.

Ia diperbuat daripada udang merah segar yang terkenal dengan rasa manis serta tekstur padat. Namun, sebanyak 10 hingga 15 kilogram udang merah segar hanya mampu menghasilkan sekitar satu kilogram Sesar Unjur, bergantung kepada tahap kekeringan produk akhir.

Proses Pemilihan dan Pembersihan Udang Merah Segar

Pembuatan Sesar Unjur bermula dengan proses membuang kepala dan kulit udang merah. Proses ini dilakukan secara bergotong-royong kerana jumlah udang yang perlu dikopek adalah dalam skala besar.

Seakan suasana rewang kenduri, jiran-jiran akan bersama-sama mengopek udang merah sebelum meneruskan proses seterusnya. Bagi para pengusaha pula, mereka sering mengupah penduduk kampung  terutamanya suri rumah  bagi membantu kerja-kerja pembersihan ini. Inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah turut membantu menambah pendapatan golongan wanita kampung.

Proses Penyusunan di Atas Dulang Khas (Babat)

Nama Sesar Unjur sendiri mempunyai makna yang tersendiri. Ia dinamakan demikian kerana udang disalai dengan cara ‘unjur’  iaitu disusun memanjang secara teratur di atas dulang anyaman buluh istimewa yang dikenali sebagai babat.

Udang segar disusun disusun memanjang secara teratur di atas dulang ‘babat’.

Kaedah penyusunan ini bukan sahaja memastikan pengeringan udang berlaku secara sekata, malah menjadi elemen penting dalam mengekalkan keaslian serta keunikan produk tradisional ini.

Proses Menyalai Sesar Unjur

Setelah disusun, udang akan melalui proses penyalaian  satu teknik pengeringan menggunakan asap panas. Kaedah ini bukan sahaja mengurangkan kandungan air dalam udang, malah memberikan aroma tersendiri serta memanjangkan jangka hayatnya.

Beginilah rupanya sesar unjur yang telah selesai disalai.

Namun begitu, proses ini menuntut kemahiran tinggi, kesabaran serta ketelitian. Udang perlu disalai secara perlahan-lahan bagi mengekalkan bentuk dan rasa asalnya. Api perlu dikawal dengan cermat tidak terlalu kuat atau terlalu lemah  agar haba daripada kayu api berada dalam keadaan optimum.

Pemilihan jenis kayu juga penting kerana ia mempengaruhi rasa, aroma dan kualiti akhir Sesar Unjur. Keseluruhan proses ini memerlukan pengendalian api yang berhati-hati, menjadikannya kerja yang agak berisiko dan memerlukan ketekunan.

Proses Menjemur dan Pembungkusan

Langkah terakhir ialah proses penjemuran dan pembungkusan. Setelah disalai, Sesar Unjur akan dijemur di bawah cahaya matahari bagi memastikan ia benar-benar kering dan mencapai tahap kegaringan optimum  atau lebih dikenali sebagai risak dalam kalangan pengusaha tempatan.

Proses pengeringan sesar unjur.

Proses ini amat penting bagi memastikan ketahanan produk, mengelakkan pembentukan kulat serta mengekalkan rasa dan tekstur yang rangup apabila dimasak. Sinar matahari semula jadi juga membantu meningkatkan warna udang agar kelihatan lebih menarik dan segar.

Setelah benar-benar kering, barulah Sesar Unjur dibungkus dan dipasarkan kepada pembeli.

Warisan Tradisi Kuala Matu

Keunikan makanan tradisional Sesar Unjur dari Kuala Matu terus menjadi kebanggaan penduduk tempatan apabila ia masih dikekalkan oleh seorang pengusaha berpengalaman, Ramzi Udor yang aktif dalam pembuatan makanan warisan ini.

“Pembuatan Sesar Unjur dijalankan sepenuhnya secara manual dan memerlukan kemahiran serta ketelitian tinggi bagi memastikan hasilnya berkualiti dan mengekalkan rasa asli udang merah. Saya berharap makanan tradisional ini dapat terus dikekalkan dan diwarisi oleh generasi muda, khususnya anak-anak dan cucu-cucu saya, agar warisan kulinari masyarakat Kuala Matu tidak pupus ditelan arus kemodenan,” katanya.

Lan (kiri) bersama Ramzi (kanan).

Ramzi yang mengusahakan perniagaan ini sejak tahun 1990 mengakui ia adalah warisan keluarga secara turun-temurun.

Nilai Tradisi dan Komitmen Terhadap Kualiti

Sementara itu, Penghulu Kampung Kuala Matu, Lai Elan Sabli yang turut ditemui bersama Ramzi, menyatakan bahawa Sesar Unjur keluaran keluarga Ramzi terkenal dengan rasa yang manis, segar dan tidak keras kerana melalui proses kawalan kualiti yang ketat pada setiap peringkat dari pemilihan udang hinggalah ke penyalaian.

Menurut beliau, disebabkan hasil akhir yang sangat sedikit berbanding bahan mentah yang digunakan, ditambah pula dengan proses pembuatan yang memakan masa, tenaga dan ketelitian tinggi, tidak hairanlah jika harga Sesar Unjur mencecah antara RM120 hingga RM200 sekilogram  bergantung kepada kualiti dan musim.

Ini menjadikannya antara makanan tradisional tempatan yang bernilai tinggi dan patut dibanggakan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda