Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Mahkamah Baharu Pengerang Lengkap Fasiliti Kehakiman di Timur Johor

By 19 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 19 Okt (MalaysiaAktif) – Penduduk di Daerah Kecil Pengerang kini menikmati kemudahan kehakiman yang lebih selesa dan berhampiran dengan mereka apabila Bangunan Mahkamah Baharu Pengerang siap sepenuhnya dan sedia beroperasi.

Azalina merangkap Ahli Parlimen Pengerang berucap di Majlis Penyerahan Projek Mahkamah Pengerang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pembinaan mahkamah baharu itu merupakan langkah proaktif kerajaan bagi memenuhi keperluan semasa penduduk, selaras dengan kemajuan Pengerang sebagai destinasi pelancongan dan hab industri minyak serta gas.

“Penyiapan projek ini pastinya melengkapkan kemudahan awam di Pengerang, khususnya akses kepada keadilan bagi masyarakat setempat dan kawasan timur negeri Johor.

“Kemudahan ini juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh sistem kehakiman agar terus efisien dan mudah diakses oleh rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Mahkamah Pengerang, di sini semalam.

Bangunan mahkamah baharu itu dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor yang memastikan setiap aspek pembinaan dilaksanakan secara teliti bagi menjamin keselamatan, keselesaan dan kualiti terbaik kepada pengguna.

Pengarah JKR Johor Ir. Zainal Tumian, berkata projek tersebut berjaya disiapkan mengikut jadual dengan mutu kerja yang tinggi hasil komitmen dan kerjasama erat semua pihak terlibat.

“JKR Johor berbangga dapat merealisasikan projek ini demi manfaat masyarakat. Ia menjadi bukti kesungguhan kami menyediakan kemudahan awam yang berkualiti, berfungsi dan memberi nilai tambah kepada rakyat,” katanya.

Azalina meninjau kemudahan Mahkamah Pengerang.

Projek pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang bermula pada 19 Mei 2022 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos lalu dengan kos keseluruhan bernilai RM17.18 juta dan akan mula beroperasi pada 1 November ini.

Dengan siapnya bangunan ini, urusan kehakiman di kawasan Pengerang dijangka menjadi lebih lancar serta memberi kemudahan kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan perkhidmatan kehakiman dengan lebih cepat dan selesa.

Turut hadir Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri Datuk Zamri Misman, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Zamri Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar Fauziah Misri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

-RI

Tinggalkan komen anda