
Laporan/foto: Sunday Grace Justimus (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 26 Okt (MalaysiaAktif) – Sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2025, Pertandingan Nyanyian Solo telah diadakan sebagai usaha mengangkat kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental melalui seni dan muzik.
Program ini bukan sekadar pentas bakat, tetapi wadah menyampaikan mesej bahawa muzik mampu menjadi terapi jiwa serta saluran ekspresi positif untuk kesejahteraan mental.
Salah seorang peserta, Clarice F.E. Sipanul, 51, berkongsi bahawa nyanyian dan muzik dapat membantu mengekalkan kesihatan mental dengan meningkatkan suasana serta meluahkan emosi secara sihat.
“Ini adalah salah satu cara untuk meluahkan emosi yang terpendam melalui pilihan lagu dan lirik tertentu. Muzik yang sesuai membantu menenangkan diri, mengurangkan kebimbangan dan tekanan sekali gus menghindarkan kemurungan.
“Lagu dan lirik sendiri yang saya cipta sebagai cara menyalurkan perasaan mengikut emosi ketika itu. Walaupun proses mencipta lagu tidak mudah, ia membantu saya berfikir lebih luas dan mengambil pengajaran daripada pengalaman sendiri,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan di sini, pada Sabtu.

Chan Hau Teck ditemui selepas persembahannya dalam pertandingan yang sama.
Bagi salah seorang peserta Chan Hau Teck, 23, pertandingan ini istimewa kerana menggabungkan elemen seni dengan mesej kesedaran kesihatan mental.
“Muzik menyentuh emosi dan membuka ruang untuk berbicara tentang kesihatan mental sambil membantu peserta meluahkan perasaan serta membina keyakinan diri.
“Saya memilih lagu Senyumlah nyanyian Andmesh Kamaleng kerana mesejnya tentang harapan dan ketabahan seiring dengan tema kesihatan mental. Ia memberi semangat serta ketenangan kepada pendengar,” katanya.

Nechfernando Nechflindo berkongsi pengalamannya menyertai pertandingan nyanyian sempena sambutan tersebut.
Sementara itu, peserta muda Nechfernando Nechflindo, 19, berkata, beliau terdorong untuk menyertai pertandingan ini kerana percaya pada kuasa penyembuhan muzik dan pentingnya mesej kesihatan mental.
“Saya mahu menggunakan bakat saya untuk menghapus stigma dan menjadi suara sokongan kepada mereka yang memerlukan. Ini bukan sekadar persembahan, tetapi peluang untuk menyalurkan emosi serta harapan kepada penonton.
“Saya berharap masyarakat menilai kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal, serta menjadikan program seperti ini sebagai platform untuk menggalakkan perbualan terbuka, meningkatkan empati, dan menghapus stigma terhadap usaha mendapatkan bantuan,” ujarnya.
-RJ-





