
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Penampang)
PENAMPANG, 4 Nov (MalaysiaAktif) – Pengalaman lebih sedekad dalam bidang dandanan rambut membuka lembaran baharu buat Sylvia Hendry yang kini bergelar pengasas kepada produk penjagaan rambut CLVIA, di bawah syarikatnya Clvia Enterprise.
Menurut wanita berusia 38 tahun itu, idea menghasilkan produk penjagaan rambut berkenaan tercetus daripada pengalaman beliau mengendalikan perniagaan salon bergerak sejak 2014, selepas tamat pengajian di institusi Latihan GiatMARA.
“Saya sudah lama dalam bidang gunting rambut, jadi saya tahu keperluan rambut pelanggan, terutama wanita bertudung dan yang gemar mewarna rambut, dan daripada itu saya fikir kenapa tidak saya hasilkan produk sendiri.
“Dengan kerjasama pengilang tempatan di Sabah, saya mengeluarkan tiga produk utama iaitu rawatan keratin, serum minyak kelapa dan tonik rambut yang diformulasi khas untuk menguatkan dan menyihatkan rambut,” katanya ketika ditemui di reruai pameran sempena Hari Terbuka Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah,di sini pada Selasa.

Antara produk penjagaan rambut yang dihasilkan syarikat milik Sylvia.
Menariknya, semua bahan utama produk Clvia diperoleh daripada sumber tempatan seperti minyak kelapa Sabah, menjadikan produk itu bukan sahaja mesra pengguna tetapi turut menyokong ekonomi petani tempatan.
“Bila orang beli produk saya, sebenarnya mereka juga sedang membantu petani dan pengusaha kecil yang menghasilkan bahan mentah tempatan, jadi manfaatnya berganda dari sudut ekonomi.
“Minyak kelapa memang bahan utama saya kerana bahan ini bukan sahaja menyihatkan kulit kepala, tetapi juga membantu pertumbuhan rambut baru dan mengurangkan kerosakan kepada rambut pengguna,” jelasnya.
Tambah Slyvia, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk tersebut juga mencabar dan mengambil masa berbulan-bulan untuk menghasilkan formula yang sesuai mengikut keperluan pelanggan.

Antara reruai usahawan yang menyertai Hari Terbuka Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah dan Sesi Ramah Mesra YB Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Penampang hari ini.
“Bila saya puas hati dengan hasilnya, baru saya keluarkan secara rasmi pada tahun 2023 dan walaupun belum menembusi pasaran pasar raya, saya optimis untuk memperluaskan pengedaran produk ini ke seluruh negara suatu hari nanti.
“Saya juga berharap masyarakat akan terus menyokong produk tempatan. Produk kita tidak kurang hebatnya berbanding jenama luar, malah lebih dipercayai kerana dibuat mengikut keperluan dan bahan tempatan,” katanya.
Di samping pameran PMKS, turut diadakan Sesi Ramah Mesra Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick bersama alumni Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE).
-RJ-





