
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Ow Yeang Khang Ting (Kedah)
JITRA, 20 Nov (MalaysiaAktif) – Produk inovasi ‘Tepung Premix Wafel Api Api’ oleh pasukan Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBDA) menyerlahkan inovasi dan daya kreativiti anak-anak muda pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Politeknik dan kolej komuniti (POLYCC).
Produk oleh Muhammad Syahmi Ishak dan Fathein Nur Illayana Saiful Hazmi itu berjaya meraih gelaran naib juara dalam Future Entrepreneurs in Food Security Convention (FEAST) 2025 dan membawa pulang RM3,000, piala serta sijil penghargaan sekali gus mengukuhkan kedudukan TVET dalam bidang inovasi sekuriti makanan negara.

Muhammad Syahmi dan Fathein dibimbing oleh mentor berpengalaman Rahanita bersama ‘Tepung Premix Wafel Api Api’.
Pengarah KKBDA Salmiyah Che Ahmad menyifatkan pencapaian itu sebagai manifestasi komitmen tinggi warga kolej dalam memupuk budaya inovasi dalam kalangan pelajar.
“Kejayaan KKBDA di FEAST 2025 membuktikan bahawa pelajar TVET kita mampu bersaing di peringkat nasional, bukan sahaja dari segi teknikal tetapi juga kreatif dan inovatif. Pencapaian ini adalah hasil usaha bersepadu pasukan pelajar dan mentor,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Unit Keusahawanan KKBDA Rahanita Abd. Rahman merangkap mentor pasukan berkenaan berkata pembabitan peserta dalam pertandingan tersebut memberi peluang pelajar memahami keperluan industri sebenar dalam menghasilkan inovasi yang praktikal.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar KKBDA mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju dalam sektor sekuriti makanan negara,” katanya.
FEAST 2025 yang berlangsung dari 17 hingga 18 November lalu di Universiti Malaysia Terengganu menghimpunkan pelajar TVET dan POLYCC dari seluruh negara bagi mengetengahkan idea serta penyelesaian baharu dalam keselamatan makanan melalui gabungan kemahiran teknikal, inovasi dan elemen keusahawanan.
Edisi tahun ini menyaksikan penyertaan sengit dengan penyertaan 25 institusi pengajian tinggi termasuk 21 universiti, sebuah politeknik dan tiga Kolej Komuniti.
-RI





