
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Fandy Adlan (Bintulu)
BINTULU, 16 Sept (Malaysiaaktif) – Jalan Sultan Iskandar dan Jalan Tun Razak akan ditutup bermula 4.00 petang ini sempena sambutan Hari Malaysia 2016 di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, Sarawak.
Menerusi siaran media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Sarawak semalam, orang ramai diminta hadir awal hari ini bagi mengelakkan kesesakan jalan.
Pengguna jalan raya juga diminta menggunakan jalan alternatif dan polis trafik akan membantu pergerakan trafik di kawasan terbabit.
Sementara itu, bagi melancarkan sambutan yang bertemakan #sehatisejiwa kali ini, pengunjung diharap tidak membawa minuman masuk serta tidak dibenarkan membawa senjata atau benda tajam.
Pihak Polis Diraja Malaysia akan mengadakan kawalan ketat demi menjaga keselamatan orang ramai semasa sambutan berlangsung.
Sambutan Hari Malaysia 2016 yang bermula pada pukul 7.00 malam ini juga bakal menampilkan persembahan kebudayaan yang disertai oleh seramai 680 pelajar daripada sembilan buah sekolah dari sekitar Bintulu, di samping persembahan koir Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan persembahan artis terkenal tanah air.