
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Kudat)
KUDAT, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Perkembangan teknologi digital dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang mencabar kelestarian dunia penulisan sekali gus menyumbang kepada kemerosotan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Penulis dan ahli akademik Sabah Dr. Azlan Shafie Abdullah @ Raymond Majumah berkata kecenderungan masyarakat terhadap bahan bacaan digital menyebabkan buku fizikal semakin kurang mendapat sambutan terutama dalam kalangan generasi muda.

Dr. Azlan memperagakan dua novel hasil karyanya yang mengangkat tema budaya dan masyarakat tempatan Sabah.
Menurutnya, meskipun buku elektronik atau Ebook menawarkan kemudahan akses, pembacaan buku fizikal masih relevan khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan kekangan capaian Internet.
“Buku fizikal semakin kurang diterima kerana masyarakat lebih selesa dengan bahan bacaan digital namun hakikatnya budaya membaca secara keseluruhan semakin merosot.
“Situasi ini memberi kesan langsung kepada pasaran buku serta tahap literasi masyarakat,” katanya ketika ditemui di reruai Program Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sabah di Dewan Terbuka Matunggong, di sini Sabtu lalu.
Mengimbas penglibatan awal dalam dunia penulisan, Azlan berkata minatnya bermula sejak di bangku sekolah menengah selepas memenangi Hadiah Sastera Sabah kategori menengah ketika berada di Tingkatan Empat.
“Sejak itu, saya terus berkarya dalam pelbagai genre termasuk puisi, cerpen, novel dan cerita rakyat. Selepas memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD), tumpuan penulisan saya beralih kepada penerbitan buku kajian budaya, etnik dan bahasa etnik di Sabah.

Antara karya penulisan Dr. Azlan yang dipamerkan di reruai Program Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sabah di Kudat, kelmarin.
“Namun, penulisan dalam bidang ini kini berdepan cabaran besar susulan kekurangan informan berkualiti kerana banyak ilmu tradisi telah hilang bersama generasi terdahulu tanpa sempat didokumentasikan,” katanya.
Beberapa karya Azlan pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) selain dipasarkan secara jualan terus kepada komuniti melalui pameran dan program tertentu.
Program berkenaan turut dikunjungi Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dato’ Abdul Shukur Abdullah.
-RJ-





