
Laporan/foto: Adelaidah Arshad/Md Shakir Md Salleh (Lahad Datu)
LAHAD DATU, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Lahad Datu mencatat sejarah apabila dipilih sebagai tuan rumah buat pertama kali bagi penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Bahagian Tawau 1447H/2026M.
Selain melahirkan generasi celik Al-Quran dan memperkukuh kerohanian umat Islam, penganjuran MTQ dilihat sebagai medium berkesan untuk membendung pengaruh negatif teknologi serta media sosial yang semakin menular dalam kalangan golongan muda.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd. Sainal berkata program seumpama itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mendidik dan membimbing generasi baharu agar mempunyai jati diri dan asas kerohanian yang kukuh.

Dr. Andi menyampaikan ucapan perasmian sempena MTQPeringkat Bahagian Tawau 1447H/2026M yang berlangsung di Lahad Datu, sebagai usaha memperkukuh penghayatan Al-Quran dan pembentukan sahsiah umat Islam.
“Golongan muda yang terdedah kepada pengaruh teknologi dan media sosial memerlukan pegangan rohani yang mantap supaya tidak mudah terjerumus ke arah gejala tidak sihat yang boleh menjejaskan akhlak dan jati diri.
“Penghayatan terhadap Al-Quran perlu dipupuk secara berterusan agar ia menjadi panduan hidup serta benteng dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya ketika merasmikan MTQ Peringkat Bahagian Tawau 1447H/2026M di sini, Sabtu lalu.
Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu Firuz Idzualdeen @ Bennety Mohd. Dzul berkata penganjuran majlis berkenaan memberi peluang untuk mengetengahkan Lahad Datu sebagai pusat aktiviti keagamaan di Bahagian Tawau.
Beliau berkata MTQ juga berperanan sebagai medan untuk memantapkan sahsiah, memperkukuh ukhuwah serta meningkatkan kerjasama masyarakat menerusi pengisian berteraskan Al-Quran.

Firuz menyampaikan ucapan sempena MTQ Peringkat Bahagian Tawau 1447H/2026M yang berlangsung di Lahad Datu, sebagai sebahagian pengisian keagamaan bagi memperkukuh ukhuwah dan penghayatan Al-Quran dalam masyarakat.
“Majlis ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam seni bacaan Al-Quran, malah menggalakkan penglibatan masyarakat dalam program keagamaan secara menyeluruh.
“Kejayaan penganjurannya diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada pelaksanaan program keagamaan dan keilmuan secara berterusan pada masa hadapan,” katanya.
Untuk rekod, keputusan MTQ Peringkat Bahagian Tawau menyaksikan Muhammad Hazim Sharumi dan Norasmah Abdul Wahid, wakil dari Lahad Datu masing-masing dinobatkan sebagai Johan Qari dan Johan Qariah untuk mewakili daerah itu ke peringkat negeri.
-RJ-





