
Laporan/foto: Salleh Immun/Aziq Asyraf (Mukah)
MUKAH, 2 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 30 anak yatim menerima sumbangan kasih dalam Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil yang dihadiri kira-kira 1,000 penduduk di Masjid Setia Raja Mukah, petang semalam.
Majlis bermula jam 6 petang itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hajah Hanifah Hajar Taib yang juga Ahli Parlimen Mukah.

Hanifah (tengah, bertudung putih) bergambar bersama-sama tetamu kenamaan dan para penerima sumbangan. Turut kelihatan suaminya, Datuk Syed Alwee Alsree (kanan) serta ADUN N.57 Tellian, Royston Valentine (kiri).
Menurut Hanifah, penganjuran majlis berkenaan bertujuan memperingati Allahyarham ayahandanya, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang meninggal dunia pada 21 Februari 2024 serta Allahyarhamah bondanya, Puan Sri Datuk Patinggi Hajah Laila Taib yang meninggal dunia pada 29 April 2009.
Beliau berkata majlis bacaan Yasin dan tahlil itu bukan sahaja bertujuan mendoakan kesejahteraan roh kedua-dua insan tersayang, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat setempat.
“Saya berharap majlis ini dapat menyatukan ahli keluarga dan masyarakat serta memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, di sini.
Pada majlis sama, Hanifah menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas bernilai RM100 serta wang tunai RM200 kepada setiap anak yatim dari sekitar Mukah.

Hanifah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim yang berkerusi roda sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan golongan kurang bernasib baik.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen P.213 Mukah dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bahagian Mukah serta Jawatankuasa Pengurusan Masjid Setia Raja Mukah.
Sementara itu, bacaan Yasin dan tahlil dipimpin oleh Ustaz Haji Mohamad Khairi Zulkifli Abdul Rahman dari Jabatan Agama Islam Bahagian Mukah.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri N.57 Tellian Royston Valentine, Timbalan Residen Mukah Shafrie Saili serta Setiausaha Lembaga Amanah Masjid Setia Raja Mukah Datu Sarudu Hoklai.
-RJ-





